Ahli Parlimen BN jangan jadi pak turut

Haslihelmy DM Zulhasli
Haslihelmy DM Zulhasli
A
A
A

KUANTAN - Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dinasihatkan tidak menjadi pak turut dengan menerima arahan pihak tertentu bagi menjayakan agenda yang bukan perancangan parti.

Timbalan Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, tindakan segelintir Ahli Parlimen BN mengadakan pertemuan sulit dengan pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah mereka dalam keadaan terdesak untuk pembentukan kerajaan menerusi jalan pintu belakang.

"Adakah mereka ini menerima bayaran untuk berbuat demikian? Setiap ahli dan pemimpin BN perlu kekal dengan prinsip bahawa tidak akan ada pembentukan kerajaan dengan jalan pintu belakang.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Sekali lagi Hishammuddin khianati rakyat'

Mohamed Azmin jumpa Ahli Parlimen PH, BN di Putrajaya malam ini

"Biar kerajaan PH (Pakatan Harapan) bubarkan sahaja Parlimen jika mahu bentuk kerajaan baharu atau serahkan kepada rakyat untuk menentukan parti dan pemimpin mana pilihan mereka pada PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malam tadi tular di laman sosial mengenai sekumpulan Ahli Parlimen BN berkumpul di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya.

Bagaimanapun, mereka mengunci mulut berhubung tujuan lawatan ke banglo yang terletak di tepi Tasik Putrajaya itu.

Artikel Berkaitan:

Selain Ahli Parlimen BN, turut hadir ke pertemuan itu beberapa Ahli Parlimen dari PKR.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Haslihelmy berkata, pasti ramai pihak mahu mengetahui tujuan pertemuan itu dan siapa yang mengaturnya.

"Kenapa mereka berbuat demikian? Adakah mereka berjumpa Azmin demi menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) yang kini menerima asakan selepas kekalahan teruk PH pada PRK (Pilihan Raya Kecil) Tanjung Piai, Sabtu lalu?

"Mereka tidak wajar menghadiri perjumpaan itu. Bagi saya ia satu bentuk pengkhianatan kepada parti.., tapi adilkah mereka berbuat demikian?," soalnya.

Dalam pada itu, Haslihelmy berkata, tindakan itu sudah pasti mewujudkan satu emosi tidak baik dalam kalangan ahli BN dan Pas yang baharu memeterai kerjasama menerusi Muafakat Nasional.

"Adakah semua Ahli Parlimen yang hadir itu mewakili BN? Sudah tentu persoalan ini bermain dalam fikiran ahli BN termasuk Pas.

"Janganlah disebabkan oleh nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Begitulah diibaratkan dengan tindakan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen BN berkenaan," katanya.