Mohamed Azmin jumpa Ahli Parlimen PH, BN di Putrajaya malam ini

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di kediaman rasminya di Presint 10 di sini malam ini.

Dipercayai kesemua mereka berada di rumah tersebut sejak pukul 7 petang dan kelihatan meninggalkan kediaman Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada pukul 11 malam.

Antara yang hadir ialah Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin; Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid, Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

Antara pemimpin yang dipercayai hadir ialah Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.

Selain itu Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jamaluddin Alias dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Terdahulu kecoh satu mesej bertebaran menerusi aplikasi WhatsApp mengenai pertemuan melibatkan Mohamed Azmin dengan beberapa Ahli Parlimen PH dan BN.

Mesej tersebut yang disebarkan kepada beberapa orang wartawan Sinar Harian itu turut mendakwa berlaku pertemuan antara Mohamed Azmin Ali dengan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut mesej tersebut pertemuan itu didakwa diadakan bagi mendapatkan sokongan Ahli parlimen terbabit untuk menggagalkan peralihan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beberapa portal berita turut melaporkan lebih 10 buah kenderaan berada di perkarangan kediaman rasmi Mohamed Azmin malam ini.