'Sekali lagi Hishammuddin khianati rakyat'

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein didakwa mengetuai pertemuan sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin di Putrajaya malam tadi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, Hishammuddin sekali lagi mengkhianati rakyat Malaysia khususnya pengundi Tanjung Piai yang baru dua hari memberi kepercayaan kepada calon BN memenangi kerusi berkenaan.

“Apa pula alasan yang mahu beliau berikan apabila membawa 22 orang Ahli Parlimen BN ke rumah Azmin di Putrajaya?

“Walaupun bukan semua Ahli Parlimen menyokong Dr Mahathir (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad), tidakkah beliau sedar betapa kecewanya ribuan jentera BN dan Pas yang bekerja keras di Tanjung Piai apabila beliau melakukan pengkhianatan ini,” katanya dalam satu kenyataan.



ARTIKEL BERKAITAN: Mohamed Azmin jumpa Ahli Parlimen PH, BN di Putrajaya malam ini

Beliau turut mendakwa bekas Naib Presiden UMNO itu turut menjadi ‘orang tengah’ Dr Mahathir.

“Sebelum ini Hishammuddin bermaharaja menjadi orang tengah Dr Mahathir untuk membawa masuk pimpinan dan Ahli Parlimen UMNO ke Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tanpa sebarang tindakan disiplin daripada pimpinan UMNO.

“Setiap kali bila diajukan soalan kenapa beliau menghasut Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai Bersatu, beliau kerap memberi alasan beliau mengepung MP-MP BN bagi mengelakkan mereka menyertai Bersatu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, aduan disiplin terhadap Hishammuddin dibuat pada 30 Oktober lalu.

“Saya menggesa agar siasatan segera dijalankan dan tindakan disiplin diambil kepada mereka yang mempengaruhi pimpinan dan Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong kepimpinan Dr Mahathir mahupun Azmin sekali gus menghampakan harapan rakyat untuk melihat Parlimen dibubarkan.

“Tindakan Hishamuddin bertentangan dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang sudah pun memutuskan tiada kerjasama akan dijalankan dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Saya berharap tiada pihak mempertahankan pengkhianatan yang dilakukan Hishammuddin ini. Parti perlu mengambil tindakan tegas," katanya.

Malam tadi, sekumpulan Ahli Parlimen BN dipercayai menghadiri mesyuarat di kediaman Mohamed Azmin, di sebalik khabar angin mengenai cubaan menghalang usaha memaksa Dr Mahathir berundur.

Pertemuan itu yang dikatakan ‘hanya makan malam’ oleh satu sumber dihadiri Hishammuddin dan kira-kira 20 Ahli Parlimen BN.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar, antara Ahli Parlimen PKR yang dilihat turut berada di kediaman Mohamed Azmin malam tadi.

Pertemuan ini selepas kekalahan besar PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada Sabtu, yang mana calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng dari MCA dipilih dengan majoriti besar 15,086 undi.