Tuah tidak memihak Tok Gajah

No Image Caption
A
A
A

TANPA sebarang piala. Kecewa dan terkilan bukan sahaja ditanggung pengurusan, pemain dan peminat, malah penulis sendiri. Sebagai anak jati Pahang, penulis tetap mengikuti perkembangan rapat pasukan Tok Gajah walaupun kini bukan lagi wartawan yang memberi fokus kepada sukan terutama bola sepak seperti beberapa tahun lalu.

Itu nasib yang menimpa Tok Gajah pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019 yang telah menutup tirainya pada awal November lalu.

Skuad kendalian Dollah Salleh yang baru sahaja dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 baru-baru ini terpaksa akur nasib kurang menyebelahi mereka musim ini.Ia dapat disaksikan apabila peluang Pahang ke pentas final Piala FA dan Piala Malaysia, masing-masing berakhir pada saingan separuh akhir.

Walaupun dilihat memiliki peluang tinggi mara ke saingan akhir, namun saingan separuh akhir kedua meranapkan impian skuad tersebut dan peminat Tok Gajah untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini.

Pada saingan Piala Malaysia 2019, Pahang tewas dalam aksi penuh dramatik berdepan Kedah selepas terikat dengan agregat 8-8 dan keadaan itu memihak kepada lawan berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan.

Sebelum itu, hasrat Pahang untuk mempertahankan Piala FA yang dijulang pada musim 2018 musnah selepas hajat mereka dihalang Perak dalam saingan separuh akhir untuk musim ini.

Hanya gelaran Naib Juara Liga Super 2019 dilihat menjadi pengubat duka buat Pahang untuk saingan musim 2019.

Entah mana silapnya, walaupun barisan pemain yang ditampilkan pada musim ini dibarisi oleh pemain tempatan yang berpengalaman seperti penyerang kebangsaan, Mat Yo atau Norshahrul Idlan Talaha termasuk kehadiran semula ‘orang besi’, Dickson Nwakaeme, mereka masih gagal membantu Pahang membawa pulang sekurang-kurangnya satu gelaran juara.

Artikel Berkaitan:

Kelibat beberapa pemain kebangsaan negara seperti Mohamadou Sumareh, Azam Azih dan Matthew Davies, selain pertahanan import dari Singapura, Safuwan Baharuddin dan pemain tengah kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani juga tidak memberikan kelebihan buat Tok Gajah untuk merealisasikan hasrat skuad tersebut meraih kejayaan membanggakan pada musim ini.

Pencapaian itu sudah pasti menuntut pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan saingan dan pelaburan untuk musim 2020 tidak sia-sia selepas sasaran pasukan berkenaan mempertahankan Piala FA yang dimenangi pada 2018 gagal dipenuhi musim ini.

Setakat ini, dua pemain import Tok Gajah, Safuwan dan Saddil telah mengumumkan secara terbuka di laman sosial Instagram mereka bahawa khidmat mereka sudah berakhir pada musim ini.

Turut mengumumkan sama ialah pemain pertahanan, Zubir Azmi yang mengucapkan selamat tinggal di laman Instagram kepada pasukan tersebut.

Sementara itu, Dollah menyifatkan tuah tidak memihak pasukan berkenaan selepas beberapa kali terlepas peluang ke pentas akhir.

“Sudah beberapa kali, hanya tinggal selangkah kita tidak berjaya dan terpaksa akur dengan kegagalan.

“Jadi, saya lihat tuah memang tidak memihak Pahang pada musim ini walaupun dibarisi pemain-pemain yang baik dan berpengalaman,” kata Dollah.

Mengulas nasibnya sebagai pengendali pasukan berkenaan untuk musim 2020, Dollah berkata, masa depannya bersama Pahang masih belum diketahui.

Untuk saingan musim depan, penulis berharap Tok Gajah mencatatkan aksi lebih cemerlang, sekali gus mengembalikan episod kegemilangan pasukan seperti musim 2014 yang menyaksikan Pahang muncul juara drebble, Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia dalam genggaman.

Moga Tok Gajah lebih berbisa pada Liga-M 2020 dan sekali gus laungan Ale-Ale Tok Gajahku bakal mewarnai sekali lagi Stadium Darul Makmur untuk meraikan kejayaan pasukan tersebut seperti sebelum ini.