35 ditahan ketika lalok di port dadah

Antara beberapa jenis dadah yang dirampas ketika operasi di sarang dadah di Kuala Muda awal pagi semalam.
Antara beberapa jenis dadah yang dirampas ketika operasi di sarang dadah di Kuala Muda awal pagi semalam.
A
A
A

KEPALA BATAS - 35 lelaki ditahan dalam serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang dijalankan awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua yang ditahan dalam Ops Sarang itu berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan di sarang penagih dadah di Kampung Bakau Tua, Kuala Muda, antara jam 6 pagi hingga 6 petang.

"Bertindak berdasarkan maklumat dadah, kita berjaya menahan 35 lelaki yang kebanyakannya terdiri daripada buruh dan penganggur. Hasil pemeriksaan, kita merampas dadah jenis heroin seberat 28.1 gram, syabu (0.6 gram) dan ganja (0.8 gram) daripada 16 penagih yang ditahan.

"Turut dirampas dua buah motosikal jenis Modenas Kriss yang hilang pada 2012 dan tahun lalu dari tiga penagih. Rampasan itu dibuat ketika ketiga-tiga mereka sedang memasuki sarang dadah berkenaan," katanya kepada media sebentar tadi.

Tambahnya, kesemua yang ditahan serta bahan rampasan dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati dadah tersebut adalah untuk kegunaan sendiri. Ada juga yang menjual di sarang dadah berkenaan.

“Nilai keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM 1,100. Ujian saringan dadah ke atas semua tangkapan didapati positif dadah morfin dan syabu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semua yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut selain diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.