X

Kindly register in order to view this article
!

Pendakwaan akan buktikan Najib guna jawatan pinda laporan audit 1MDB

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Pendakwaan bagi perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bermula hari ini akan membuktikan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mengarah maklumat penting dikeluarkan daripada laporan akhir audit 1MDB.

Semasa membentangkan kenyataan pembukaan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pendakwaan akan menunjukkan bahawa Najib melakukan perbuatan itu bagi mengelak pertuduhan sivil atau jenayah terhadapnya sebagai pengarah bayangan 1MDB, serta kedudukannya untuk memperoleh ganjaran sebagaimana dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Beliau (Najib) melakukannya dengan niat rasuah sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya dan menambah bahawa pendakwaan akan membuktikannya secara langsung dan mengikut keadaan, sejauh mana tertuduh mengeluarkan bahan dari rekod rasmi untuk menghalang pendedahan keadaan sebenar.

Sri Ram berkata, Najib tahu atau sudah pasti dalam konteksnya, jika kebenaran itu muncul, beliau akan terdedah kepada tanggungjawab sivil atau jenayah atas alasan yang telah dinyatakan.

“Ini adalah fakta yang pendakwaan akan buktikan menerusi perbuatan dan tindakan tertuduh dalam keadaan kes itu," katanya kepada Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada hari pertama perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang didakwa meminda laporan akhir audit 1MDB.

Sri Ram berkata, 1MDB merupakan syarikat di mana Najib mempunyai kepentingan material dan bekas perdana menteri itu memiliki sahamnya.

"Beliau juga pemegang saham keutamaannya dan menggunakan kuasa tertinggi ke atasnya. Tertuduh (Najib) mengambil kira dirinya dalam urusan 1MDB.

"Bukti akan menunjukkan bahawa lembaga dan pengurusan syarikat itu biasa bertindak atas arahannya. Oleh sebab itu, untuk tujuan undang-undang syarikat dan undang-undang umum beliau adalah pengarah bayangan 1MDB. Oleh itu, beliau bertanggungjawab secara sivil dan jenayah ke atas apa-apa pelanggaran kewajipannya kepada syarikat berkenaan," katanya.

Menjelaskan perkara itu, Sri Ram berkata, wang milik 1MDB mengalir masuk ke akaun Good Star Limited, syarikat yang dikawal oleh Low Taek Jho atau Jho Low, yang amat dilindungi tertuduh.

"Sebahagian daripada wang itu juga diperoleh anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz. Najib juga menerima sejumlah besar wang milik 1MDB. Walaupun beliau tahu bahawa wang yang dikatakan itu milik 1MDB, beliau berbohong kepada dunia bahawa wang berkenaan adalah derma daripada Arab Saudi," katanya.

Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa apabila skandal 1MDB diketahui umum pada awal Julai 2015 dan telah mendapat publisiti yang luas, Najib mula menutup jejaknya.

"Salah satu langkah untuk menyembunyikan kebenaran yang diambil Najib untuk menutup jejaknya berhubung peranannya dan Jho Low dalam perniagaan dan hal ehwal 1MDB, membawa kepada pertuduhan dalam kes ini," katanya.

Sri Ram berkata, walaupun laporan yang disediakan oleh Ketua Audit Negara telah sedia untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Najib mengambil langkah memastikan beberapa petikan yang berkenaan dengannya diubah atau dikeluarkan dalam satu mesyuarat 24 Februari 2016 atas perintahnya.

"Hasil daripada apa yang berlaku pada mesyuarat itu, perenggan-perenggan yang berkaitan seperti yang dinyatakan dalam Annexure A telah dipinda atau dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, Sri Ram berkata, Arul Kanda melalui kelakuannya, sebelum mesyuarat yang dikatakan pada pertemuan itu dan susulannya bersubahat dengan tertuduh.

“Menjadi tugas saya untuk memaklumkan kepada mahkamah bahawa pada peringkat yang sesuai pendakwa raya akan memohon secara bertulis mengikut Seksyen 63 Akta SPRM untuk memanggil tertuduh, Arul Kanda untuk memberi keterangan mengenai bagi pihak pendakwaan. Kami akan memaklumkan kepada mahkamah mengenainya pada peringkat yang sesuai," katanya.

Sri Ram berkata, pendakwaan akan menunjukkan bahawa keterangan dalam kes itu boleh dipercayai dan disokong dalam butir-butir material.

"Selanjutnya, kesimpulan bukti akan membawa kepada kesimpulan yang menunjukkan bahawa bukan sahaja jenayah yang dikatakan dilakukan tetapi tertuduhlah yang melakukannya.

"Adalah juga menjadi kewajipan kami untuk memaklumkan kepada mahkamah bahawa mahkamah mungkin akan mendengar keterangan saksi yang mungkin memaparkan kecenderungan yang jelas memihak kepada tertuduh. Keterangan mereka perlu bagi kes kami. Kami akan memaklumkan mahkamah bila tiba masanya di mana keterangan saksi sedemikian adalah untuk dinilai, " katanya.

Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dibantu TPR Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Mohammad Al-Saifi Hashim, Ahmad Akram Gharib, Rozaliana Zakaria, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Zulkefli, Hazmida Harris Lee, Tan Song Yan, Fatimah Hannah Abd Wahab, Munira Syahirah Mohamad Kamal, Nur Syakirin Yaccob dan Wafa Zainal Abidin.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Syahirah Hanapiah, manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N. Sivananthan, Jasmine Cheong dan Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Pada 12 Disember 2018, Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib, 66, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus