Syarikat didenda RM30,000 sebabkan kematian pekerja

SM Masmaju Resources yang diwakili dua pengarah syarikat, S Sritharan dan Mohammad Ammierul Hafiz Abdul Rahman membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid hari ini.
SM Masmaju Resources yang diwakili dua pengarah syarikat, S Sritharan dan Mohammad Ammierul Hafiz Abdul Rahman membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid hari ini.
A
A
A

IPOH - Sebuah syarikat pemasang perancah didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah gagal memastikan aspek keselamatan ketika bekerja hingga mengakibatkan kematian seorang pekerja pada Julai lalu.

SM Masmaju Resources yang diwakili dua pengarah syarikat, S Sritharan dan Mohammad Ammierul Hafiz Abdul Rahman membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa gagal memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerja di bawah kawalannya iaitu gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja memasang perancah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di SUL02 Gantry Crane, Jeti Lumut Bulk Terminal pada jam 12.50 tengah hari, 17 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Shahrill Sulaiman manakala syarikat diwakili Peguam Dalgit Singh.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap syarikat berkenaan supaya menjadi pengajaran kepada syarikat lain memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja.

Dalgit dalam pembelaannya memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah pun menjalankan tanggungjawab sebagai majikan dengan menghantar jenazah mangsa ke negara asal selain memberikan pampasan kepada waris mangsa.

Artikel Berkaitan:

Norashima kemudiannya menetapkan hukuman denda RM30,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal bayar.

Dalam kejadian 17 Julai lalu, Kamal Hossein, 42, pekerja subkontraktor warga Bangladesh terjatuh ke dalam laut ketika sedang menjalankan kerja-kerja memasang perancah.

Mayat mangsa dijumpai lebih kurang jam 6.50 petang pada hari yang sama oleh pasukan mencari dan menyelamat.