Lelaki dipenjara 17 tahun sebabkan kematian anak teman wanita

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun ke atas seorang bekas pemilik bengkel kerana menyebabkan kematian anak lelaki teman wanitanya yang berusia dua tahun hampir 10 tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas dimaklumkan Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi Mohd Hisham Mat Yunus, 52, yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi bagi kesalahan membunuh Muhamad Umar Haiqal Mohd Hazlee.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi anak guamnya untuk meminda pertuduhan daripada membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee mengesahkan perkara itu.

Kamaludin, yang bersidang bersama-sama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, kemudian mengetepikan sabitan Mohd Hisham bagi kesalahan membunuh serta menggantikan hukuman mati ke atasnya dengan penjara selama 17 tahun.

Mohd Hisham diperintah menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 Jun 2013.

Kamaludin juga berkata, Mohd Hisham bernasib baik kerana terlepas hukuman mati.

Mohd Hisham yang mempunyai tiga isteri dan lima anak, telah didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Februari 2019 kerana membunuh kanak-kanak malang itu di sebuah bilik di Resort Taman Hutan Rimba Komanwel di Kilometer 23, Jalan Kuala Lumpur-Rawang, Selangor di antara jam 2 petang 9 Mei 2013 dan jam 4.30 pagi 2 Jun 2013.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa yang merupakan seorang janda dan memiliki seorang lagi anak berusia empat tahun telah menjalinkan hubungan dengan tertuduh di platform media sosial pada 2013.

Ibu mangsa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bahawa ketika menginap di resort itu, Mohd Hisyam tidak suka beliau mandi bersama anaknya kerana mendakwa perbuatan itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan telah mengambil alih tugas memandikan kanak-kanak tersebut.

Wanita itu berkata, beliau mendengar anaknya menangis ketika dimandi oleh Mohd Hisham dalam bilik yang air yang dikunci dan tertuduh telah meletakkan kanak-kanak tersebut di dalam timba yang dipenuhi air serta ais sebelum meninggalkan mangsa keseorangan semalaman di situ.

Katanya, tertuduh mendakwa perkara itu dilakukan atas alasan mahu menghalau roh jahat yang berada di dalam badan mangsa.

Ibu mangsa berkata, pada 2 Jun 2013, beliau melihat Mohd Hisham melakukan CPR pada kanak-kanak itu yang terbaring kaku dan pada hari sama, wanita itu, anak perempuannya dan tertuduh menaiki kereta untuk menanam mayat Muhamad Umar Haiqal di kawasan hutan di Bukit Brinchang, Cameron Highlands.

Wanita itu kemudian membuat laporan polis berhubung kematian mangsa dan melarikan diri dari bilik hotel bersama anak perempuannya ketika Mohd Hisham keluar membeli-belah.

Mohd Hisham kemudian ditahan dan membawa polis ke lokasi di mana mayat mangsa ditanam.

Tertuduh turut diwakili peguam Badrul Hisham Sani dan Low Wei Loke. - Bernama