KKM mohon lebih 10,000 tambahan kakitangan hospital

Dr Lee Boon Chye
Dr Lee Boon Chye
A
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengemukakan permohonan penambahan sebanyak 10,675 jawatan melibatkan kakitangan hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara kepada Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, permohonan itu bagi mengatasi kekurangan jawatan terutamanya kakitangan perubatan di Jabatan Kecemasan termasuk kekurangan doktor, ahli farmasi dan pakar pergigian.

"Kita sudah mengemukakan permohonan penambahan jawatan baru-baru ini dan kita berharap ia dapat diluluskan pada tahun depan agar dapat melegakan sedikit keadaan.

“Jadi, kita berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi pertimbangan dalam hal ini agar kita boleh mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan kepada semua rakyat di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah anjuran Ahli Lembaga Pelawat Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh di sebuah pusat membeli belah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Boon Chye berkata, cadangan penambahan jawatan kakitangan perubatan turut menerima maklum balas positif daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepac), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan beberapa agensi lain.

"Malah, semasa saya membentangkan perkara ini di Dewan Rakyat baru-baru ini, ia (permohonan penambahan kakitangan) bukan sahaja dipersetujui oleh ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) tetapi pihak pembangkang juga bersetuju," katanya.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun lalu, jumlah pengambilan kakitangan perubatan dihadkan dan tidak dibenarkan untuk penambahan walaupun kewujudan hospital, klinik dan perkhidmatan yang baharu.

Katanya, melalui kakitangan sedia ada, ia tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan yang semakin bertambah terutamanya ketika jumlah pesakit meningkat pada satu-satu masa seterusnya memberi tekanan ke atas kakitangan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh sebab itu, kita amat berharap sekatan terhadap penambahan kakitangan kerajaan di Kementerian Kesihatan tidak dilakukan supaya penambahan jawatan boleh diteruskan mengikut keperluan," katanya.

Sebelum ini, Presiden MMA, Dr N. Ganabaskaran berkata, situasi kekurangan kakitangan disebabkan sektor perubatan berkembang dengan pembukaan hospital dan klinik baharu serta keadaan menyaksikan doktor sedia ada terpaksa bekerja lebih masa manakala jururawat perlu bertugas dua syif pada waktu bekerja.

Dr Boon Chye semasa sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Selasa lepas berkata, pihaknya berharap kementerian itu dikecualikan daripada dikenakan sekatan terhadap penambahan kakitangan kerajaan. - Bernama