Perbicaraan ketiga Najib dijangka bermula esok

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan ketiga pertuduhan jenayah yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini dijangka bermula esok.

Najib berdepan pertuduhan meminda laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Ahli Parlimen Pekan itu ketika ini membuat persiapan untuk membela diri dalam kes SRC International Sdn Bhd, membabitkan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC di sebuah lagi Mahkamah Tinggi.

Kes pembelaan beliau akan bermula pada 3 Disember.

Najib, 66, sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama di mahkamah yang berlainan.

Perbicaraan ditetapkan untuk bersambung pada 6 Januari tahun depan.

Sama ada perbicaraan akan bermula esok bergantung kepada keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan yang terlebih dahulu akan membuat keputusan berhubung permohonan Najib supaya tarikh perbicaraan meminda laporan audit itu dilapangkan dan dibawa kepada 13 Januari 2020.

Mohamed Zaini telah pun mengarahkan semua pihak supaya bersedia dengan perbicaraan sekiranya beliau menolak permohonan itu. Beliau sebelum ini menetapkan 18 hingga 29 November tahun ini dan 13 hingga 17 Januari 2020 bagi perbicaraan itu.

Artikel Berkaitan:

Seorang daripada Timbalan Pendakwa Raya dalam pasukan pendakwaan, Ahmad Akram Gharib berkata, pendakwaan telahpun bersedia dengan tiga hingga lima saksi rasmi sekiranya hakim membuat keputusan untuk memulakan perbicaraan pada Isnin.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan yang turut dianggotai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Mohammad Al-Saifi Hashim, Ahmad Akram, Rozaliana Zakaria, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Hazmida Harris Lee, Nadia Zulkefli, Tan Song Yan, Fatimah Hannah Abd Wahab, Munira Syahirah Mohamad Kamal, Nur Syakirin Yaccob dan Wafa Zainal Abidin.

Najib diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah Hanapiah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili peguam, Datuk N. Sivananthan, Jasmine Cheong serta Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Dalam permohonan yang difailkan pada 13 November, Najib berkata, jika perbicaraan (meminda laporan audit) itu akan berjalan seperti dijadualkan, beliau akan mengalami prejudis kerana beliau dan barisan peguamnya akan memerlukan masa yang munasabah serta mencukupi untuk membuat persediaan untuk membela dirinya dalam kes SRC.

Beliau turut menyatakan dalam permohonan itu bahawa pasukan pembelaannya pada masa sama turut terbabit dalam membuat persiapan bagi satu lagi kes 1MDB yang bermula pada 28 Ogos dan masih berjalan.

Permohonan Najib bagaimanapun dibantah oleh Arul Kanda yang menggesa mahkamah supaya meneliti kepentingan semua tertuduh, bukan hanya seorang tertuduh dan memohon mahkamah supaya meneruskan perbicaraan itu kerana beliau mahu diberi peluang untuk menyangkal pertuduhan terhadapnya.

Pada 4 Januari tahun ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes membabitkan Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama.

Pada 12 Disember 2018, Najib menghadapi pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.- Bernama