Penoreh getah rugi RM184,999

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang penoreh getah kerugian RM184,999 selepas diperdaya dua lelaki menyamar sebagai pegawai bank dan polis semalam.

Mangsa berusia 45 tahun dari Bera diperdaya dengan helah kononnya ada kad kredit atas namanya digunakan pihak lain untuk pengeluaran tunai RM7,000 ekoran maklumat nombor kad terbabit sudah terdedah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, penipuan ke atas mangsa bermula 14 November lalu apabila dia menerima panggilan daripada 'pegawai bank' dari Kuala Lumpur bagi pengesahan berhubung pengeluaran wang menggunakan kad kredit atas namanya.

Menurutnya, mangsa menafikan kerana tidak pernah mempunyai kad kredit atau membuka akaun di bank berkenaan sebelum panggilan disambung kepada pegawai polis dari Bukit Aman menggunakan nama Yap Chee Hong bagi tujuan semakan.

“Mangsa dimaklumkan, hasil semakan polis mendapati semua maklumat kad bank milik mangsa sudah terdedah dan diketahui pihak lain sebelum diarahkan memindahkan wang dalam akaun banknya itu ke sebuah akaun lain untuk siasatan dan mengelak dikeluarkan pihak lain.

“Mangsa akur apabila membuat empat transaksi pemindahan secara berasingan ke tiga buah akaun bank membabitkan jumlah keseluruhan RM184,999,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas semua wangnya dipindahkan, mangsa dimaklumkan wang tersebut akan dipulangkan semula dalam tempoh tiga hari selepas siasatan selesai dan keselamatan akaun mangsa terjamin.

“Mangsa menyedari ditipu semalam selepas usahanya menghubungi 'pegawai polis' berkenaan gagal kerana talian telefon lelaki itu dimatikan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang syak telah ditipu tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya turut mengesan pemilik akaun bank digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.