Penyokong lain bersorak, jentera Berjasa baca al-Quran

Kelihatan beberapa penyokong parti Berjasa khusyuk membaca al-Quran bagi mendoakan kemenangan calon parti itu, Ir Badrulhisham di luar pekarangan PDM di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kerang, Pontian hari ini.
Kelihatan beberapa penyokong parti Berjasa khusyuk membaca al-Quran bagi mendoakan kemenangan calon parti itu, Ir Badrulhisham di luar pekarangan PDM di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kerang, Pontian hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Tatkala penyokong parti dan calon lain bersorak di setiap pusat daerah mengundi (PDM), lain pula pendekatan diambil penyokong parti Barisan Jemaah Islamiah(Berjasa) pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.

Penyokong dan jentera Berjasa sebaliknya mengamalkan pendekatan membaca Al-Quran dan mendoakan kemenangan parti itu pada hari pengundian di seluruh 27 PDM sepanjang PRK Tanjung Piai.

Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Azizah Che Awang berkata, pada setiap PDM, jentera Berjasa menugaskan sekurang-kurangnya lima orang secara bergilir untuk menghabiskan dua juzuk al-Quran.

Menurutnya, aktiviti itu akan diteruskan di setiap PDM sehingga waktu terakhir pengundian pada jam 5.30 petang.

"Kita ada keseluruhan 1,000 jentera yang turun membantu kempen PRK calon Berjasa, Datuk Ir Badrulhisham Abdul Aziz sejak dua minggu lalu.

"Pada hari pengundian, kami mengambil pendekatan membaca al-Quran dan mendoakan kejayaan calon kita. Buat apa kami mahu terjerit-jerit bersorak macam penyokong parti lain.

"Sebenarnya bukan kami sahaja, bahkan semua ahli Berjasa di seluruh Malaysia diminta membaca al-Quran dan mendoakan kemenangan Berjasa di hari mengundi," katanya kepada media sewaktu ditemui di PDM Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang di sini hari ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati aktiviti membaca al-Quran terus diamalkan penyokong Berjasa di setiap PDM setakat jam 1 petang tadi.

Artikel Berkaitan: