Larangan aktiviti air pada musim tengkujuh akan dilaksana

Mohammad Hamdan- Foto Bernama
Mohammad Hamdan- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang merangka kaedah baharu untuk mengawal dan menghentikan aktiviti di air pada musim tengkujuh khususnya di kawasan berisiko tinggi bagi menangani insiden lemas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya kemungkinan menggunakan kaedah sama yang telah diamalkan di Terengganu iaitu memberhentikan segala aktiviti ke pulau sebaik sahaja memasuki musim tengkujuh.

Menurutnya, pelaksanaan yang dibuat di Terengganu itu dilihat antara kaedah berkesan untuk menangani sebarang kejadian tidak diingini.

"Kemungkinan kaedah yang sama juga (seperti di Terengganu) kita akan aplikasikan di kawasan yang kita percaya berisiko tinggi.

"Kita akan akan kaji pelaksanaan ini di mana apabila kita nampak sudah ada ciri-ciri musim tengkujuh seperti ombak besar dan sebagainya segala aktiviti air perlu dihentikan.

"Selain itu, kita juga akan memasang bendera merah dan sebagainya bagi memastikan orang ramai tidak mandi atau berkelah di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku lemas," katanya.

Hamdan (dua dari kanan) menyaksikan Amer (dua dari kiri) mengetik kad tugas terakhirnya di sini hari ini.
Hamdan (dua dari kanan) menyaksikan Amer (dua dari kiri) mengetik kad tugas terakhirnya di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hamdan (dua dari kanan) menyaksikan Amer (dua dari kiri) mengetik kad tugas terakhirnya di sini hari ini.
Hamdan (dua dari kanan) menyaksikan Amer (dua dari kiri) mengetik kad tugas terakhirnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Menurutnya, ketika ini sebanyak 15 kawasan disenaraikan sebagai lokasi berisiko tinggi berlaku lemas dan 39 lagi dikategorikan sebagai risiko sederhana di seluruh negara.

Katanya, kawasan yang berisiko tinggi itu termasuklah pantai, air terjun, sungai, lombong, empangan dan tali air.

Mengulas lanjut, JBPM juga bercadang untuk melantik dan memberikan kuasa kepada penduduk setempat untuk menghalang pengunjung daripada melakukan aktiviti air.

"Kemungkinan kita akan lantik orang yang duduk di tempat itu (penduduk di kawasan berisiko tinggi kejadian lemas) menjadi salah seorang ejen kepada bomba yang mungkin kita akan turunkan kuasa untuk menahan mana-mana pihak atau pengunjung yang hendak memasuki kawasan bahaya.

"Hanya dengan cara ini kita dapat tangani kes mati lemas sebab tidak tahu apa berlaku. Sebab ada tempat (pantainya) nampak landai tapi sebenarnya pantai itu amat curam, tarikan air di bawah sangat kuat dan hal itu hanya diketahui penduduk tempatan di situ," katanya.