Kes bunuh CEO Cradle Fund: Saksi ke-12 didakwa reka cerita

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Saksi ke-12 bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, (Cradle Fund), Nazrin Hassan, Nur Ronal Ardes Amir terkejut apabila dia didakwa sengaja mereka cerita ketika perbicaraan.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan, mendakwa Nur Ronal yang juga bekas anggota polis berjawatan Koperal dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu sengaja berdalih berhubung keterangan beliau dalam perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Muhammad Shafee ketika sesi soal balas menjelaskan, keterangan saksi agak bercanggah berhubung ketika saksi itu tiba di tempat kejadian pada jam 12.35 tengah hari sedangkan pihak bomba tiba pada jam 12.44 tengah hari.

Nor Ronal sebaliknya berkata, dia hanya menggunakan anggaran dan bukan waktu tepat.

Sementara itu, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salim @Soib, saksi berkenaan memaklumkan keterangannya dalam mahkamah berdasarkan apa yang dilihat ketika kejadian itu berlaku pada 14 Jun 2018.

Terdahulu, ketika sesi soal balas, Nur Ronal tidak bersetuju dengan kenyataan peguam bela ketiga-tiga tertuduh, Muhammad Shafee bahawa dia sengaja mereka cerita untuk dianggap sebagai wira (hero).

Nur Ronal menegaskan, dia masih ingat perkataan dikeluarkan Samirah bahawa dia tidak ada pembantu rumah dan semua kerja rumah dilakukan sendiri.

Dalam pada itu Nor Ronal berkata, dia tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dalam kes kebakaran itu sehinggalah melihat laporan berita yang dikeluarkan siaran televisyen, TV3.

Artikel Berkaitan:

Samirah Muzaffar, 44, iaitu bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang juga isteri Nazrin dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Perbicaraan bersambung 29 November ini.