Bekas suami direman siasat kes bunuh peniaga air balang

Muhamad Zaki
Muhamad Zaki
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan bekas isteri dalam kejadian di Taman Desa Darulnaim, Pasir Tumboh, di sini, pada Ahad.

Reman terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, reman itu bertujuan membolehkan pihaknya meneruskan siasatan terhadap kejadian yang meragut nyawa peniaga air balang, Rokiah Ayub, 42.

Menurut beliau, polis turut menjalankan ujian urin ke atas suspek yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu.

“Saringan air kencing suspek berkenaan bagaimanapun didapati negatif dadah.

“Tempoh reman bermula Ahad sehingga Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Isnin.

Ujar Muhamad Zaki, suspek berada dalam keadaan stabil dan ditidurkan untuk memudahkan rawatan di wad sebuah hospital di sini kerana kecederaan yang dialami di bahagian perut selepas dipercayai menikam diri sendiri.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi itu mengorbankan ibu tunggal kepada tiga anak berusia antara 14 hingga 24 tahun berkenaan kerana dipercayai ditikam menggunakan sebilah pisau.