Perlis henti eksport harumanis ke luar negara

Azlan (tiga dari kanan) merasmikan Program Penemusuaan Pengusaha Harumanis Perlis Bersama Pemain Industri Sempena Mempromosi Mangga Harumanis Perlis di Tahun 2020 di Jabatan Pertanian Perlis Bukit Temiang, Beseri semalam.
Azlan (tiga dari kanan) merasmikan Program Penemusuaan Pengusaha Harumanis Perlis Bersama Pemain Industri Sempena Mempromosi Mangga Harumanis Perlis di Tahun 2020 di Jabatan Pertanian Perlis Bukit Temiang, Beseri semalam.
A
A
A

PADANG BESAR - Perlis menghentikan mengeksport buah mempelam harumanis ke luar negara berikutan pengeluaran terhad dan tidak mencukupi buat masa ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, sebelum ini buah berkenaan dihantar sehingga ke negara matahari terbit, Jepun.

Katanya, pasaran Jepun antara yang terawal terpaksa dihentikan (eksport harumanis) iaitu sejak 2014 disebabkan oleh harga jualannya yang sangat rendah bagi buah gred A iaitu RM18 sahaja.

"Sedangkan pasaran di dalam negara, kita jual antara RM25 ke RM30 bagi buah gred B. Jadi kita lihat harga yang dijual bagi pasaran luar negara tidak berbaloi memandangkan permintaan terlalu tinggi selain kos eksport yang perlu ditanggung dan sebagainya," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Penemusuaan Pengusaha Harumanis Perlis Bersama Pemain Industri Sempena Mempromosi Mangga Harumanis Perlis di Tahun 2020 di Jabatan Pertanian Perlis Bukit Temiang, Beseri petang semalam.

Azlan berkata, pihaknya masih belum bersedia dengan cadangan sebahagian pihak yang memperkenalkan teknik penuaian buah harumanis di luar daripada musim kebiasaannya iaitu antara penghujung April hingga awal Jun dalam usaha memenuhi kehendak pasaran dalam dan luar negara.

"Setakat ini permintaan buah harumanis bagi pasaran di dalam negara setiap tahun melebihi 3,000 metrik tan sedangkan Perlis mampu mengeluarkan hasil antara 2,150 metrik tan setahun.

"Meskipun saya tahu sudah ada sebilangan kecil pengusaha yang berjaya menuai buah terbabit lebih daripada sekali setahun, tetapi pihak kami belum bersedia untuk itu dan kajian terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu kerana bimbang kualiti buah akan menurun," katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai usaha kerajaan negeri bagi mengeluarkan Perlis dari empat negeri tercorot ekonominya, Azlan berkata, pihaknya kini sedang berusaha menjalankan beberapa projek mega di negeri itu dalam usaha mengatasi masalah berkenaan.

Artikel Berkaitan: