Wanita, rakan didakwa bunuh bayi

Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seorang pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga ibu kepada mangsa dera berumur 23 bulan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa membunuh bayi tersebut awal bulan ini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Nor Aisyah Mohd Yunus ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Turut didakwa Pegawai Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, Noor Aisyah Ibrahim.

Berdasarkan pertuduhan Nor Aisyah, 37, dan rakan serumah, Noor Aisyah, 33, didakwa mencapai niat bersama membunuh Muhammad Alfateh Hamdi yang berusia 23 bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Fasa 5R4, Presint 5, Putrajaya antara pertengahan bulan September hingga 4 November lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi tidak mencadangkan jaminan atas alasan kesalahan tidak boleh dijamin.

Peguam Najib Zakaria yang mewakili Nor Aisyah memohon suatu perintah mahkamah agar anak guamnya dihantar ke Hospital Bahagia untuk penilaian psikiatri.

"Anak guam saya mempunyai sejarah yang mana ibunya mempunyai penyakit postpartum syndrome (meroyan).

"Bagi tertuduh kedua, saya turut memohon mahkamah agar menghantarnya ke Hospital Bahagia bagi tujuan sama kerana salah seorang ahli keluarganya mempunyai major depression (kemurungan melampau)," katanya yang menyebut bagi pihak peguam Hamdan Hamzah.

Beliau turut memohon mahkamah merekodkan pihaknya telah mendapat arahan untuk memfailkan permohonan jaminan pada tarikh akan datang.

Majistret Shah Wira Abdul Halim memerintahkan kedua-dua tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak dan menetapkan 18 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bayi lelaki berkenaan dibawa oleh kedua ibu bapanya ke Hospital Serdang dengan 89 kesan lebam, lecur, luka, calar lama dan baharu di seluruh badan.

Susulan itu, ibu dan bapa mangsa ditahan di pekarangan hospital berkenaan pada keesokan harinya bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi mati dengan 89 kesan dera di badan