4,629 kes denggi dilaporkan di Sabah

Gambar hiasan.
A
A

KOTA KINABALU - Jumlah kumulatif kes denggi di negeri ini setakat 9 November lepas adalah 4,629 kes berbanding 2,876 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1,753 kes atau 61 peratus.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, daerah yang menyumbangkan kes tertinggi adalah Sandakan sebanyak 1,144 kes, Kota Kinabalu (722 kes), Tawau (698 kes), Lahad Datu (591) dan Semporna (276).

Katanya, jumlah kumulatif kematian denggi adalah 22 kematian iaitu jumlah ini adalah sama seperti tahun sebelumnya dan bagi tempoh yang sama.

Poon dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, tindakan kawalan denggi dilakukan antaranya mengadakan kerjasama semua agensi dan masyarakat untuk aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit denggi.

Katanya, turut dilakukan adalah semburan dan penghapusan tempat pembiakan di kawasan yang mempunyai wabak atau kes denggi.

Beliau berkata, dalam membabitkan masyarakat, aktiviti gotong-royong diadakan secara besar-besaran untuk menghapuskan tempat pembiakan di kawasan wabak atau kawasan berpotensi. - Bernama