500 liter cecair asid nitrik tumpah

Anggota bomba sedang berusaha membersihkan bahan kimia yang tertumpah di sebuah kilang di Taman Teknologi Cheng di sini dalam kejadian malam tadi.
Anggota bomba sedang berusaha membersihkan bahan kimia yang tertumpah di sebuah kilang di Taman Teknologi Cheng di sini dalam kejadian malam tadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Operasi sebuah kilang komponen komputer di Taman Teknologi Cheng di sini terpaksa dihentikan sementara disebabkan tumpahan kira-kira 500 liter cecair asid nitrik.

Dalam kejadian yang belaku kira-kira jam 7.45 malam itu, seramai 200 pekerja turut diminta keluar daripada premis terbabit atas faktor keselamatan.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Zulkifli Nordin berkata, tumpahan cecair kimia terbabit juga mencetuskan bau dan membahayakan hidupan yang menghidu serta berinteraksi secara langsung.

Beliau berkata, tumpahan terbabit berlaku ketika kerja pemindahan bahan terbabit dilakukan di luar bangunan kilang.

Menurut beliau, masa lebih empat jam diambil bagi meneutral dan pembersihan tumpahan bahan kimia terbabit menggunakan 'soda ash', sebelum operasi tamat sepenuhnya kira-kira 1.09 pagi tadi.

“Kita terima panggilan kecemasan berkaitan tumpahan bahan kimia pada jam 7.52 malam tadi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu ke lokasi kejadian, bersama sebuah jentera serta Unit Perkhidmatan Kecemasan Perubatan dan Menyelamat (EMRS) dan Unit Gerak Cepat Bermotosikal membabitkan 15 anggota bergegas ke tempat kejadian sebelum tiba 15 minit kemudian.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kita dapati ada tumpahan bahan kimia yang belum dikenal pasti sebelum menanti ketibaan Pasukan Unit Bahan Berbahaya dari BPP Alor Gajah bersama 15 keanggotaan yang tiba jam 8.30 malam," katanya, kepada ditemui selepas tamat operasi di sini, awal pagi tadi.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Menurut Zulkifli, berdasarkan maklumat awal, cecair asid nitrik itu disimpan di dalam tangki 1,000 liter, tumpah ketika proses pemindahan bahan berkenaan dari luar ke dalam kilang menggunakan forklift, dan kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang semalam.

Katanya, tumpahan terbabit menyebabkan cecair kimia yang mempunyai kepekatan 10 'parts per million' dan bacaan ph 1.1 itu mengalir dalam radius kira-kira 10 meter persegi di luar bangunan kilang.

Beliau berkata, bahan kimia terbabit bersifat menghakis boleh membahayakan manusia kerana mengakibatkan sesak nafas, pengsan atau kematian selain memberi kesan terhadap kulit jika terdedah terlalu lama.

Bagaimanapun, beliau berkata insiden itu tidak membabitkan kecederaan mahupun kemalangan jiwa.