Sut terbang persis Ironman

BEKAS anggota marin mampu mencipta inovasi sut terbang. Foto: Agensi/PA.
A
A

KECANGGIHAN teknologi telah menelan era perkhidmatan penghantaran surat melalui kaedah konvensional apabila seorang penyelidik telah merintis satu sut terbang bagi menggantikan cara lama berkenaan.

Ya, ramai berandaian ia umpama seekor burung menghantar pesanan kepada pengirim, tetapi dengan menggunakan 'manusia bersayap'.

Barangkali kedengaran seperti tidak masuk akal. Namun ia merupakan fakta yang dibuktikan oleh Richard Browning.

Browning dilaporkan telah terbang ke pulau paling besar di London, Isle of Wight melintasi Selat Solent dengan menggunakan sut terbang ciptaannya sendiri pada dua tahun lalu.

Pengasas bersama Gravity Industries berusia 40 tahun itu berjaya membuktikan bahawa sut berkenaan yang diinsipirasikan daripada kostum Ironman yang dipakai Tony Stark dalam filem Marvel, menjadi realiti sekali gus mampu mencetuskan sesuatu yang mustahil boleh terjadi.

Melalui beberapa percubaan yang dilakukan, sut terbang berkenaan mampu terbang sejauh 1.3 kilometer dari Hurst Castle, Lymington ke Fort Albert di Freshwater bagi mengirim sepucuk surat.

SUT terbang lengkap enam turbin gas dengan berat 130 kilogram dan kos dianggarkan kira-kira £40,000 (RM185,434).
SUT terbang lengkap enam turbin gas dengan berat 130 kilogram dan kos dianggarkan kira-kira £40,000 (RM185,434).

Memetik laman web terkemuka antarabangsa wired.co.uk, bekas anggota marin itu memulakan projek rahsia sut terbang ketika musim panas tahun 2016 dengan mencipta satu turbin gas mikro yang dikuasakan minyak tanah dan dipasangkan pada tangan serta kaki.

Selama berbulan-bulan lamanya, Browning mengusahakan projek itu dan mencuba untuk terbang seperti Ironman.

Dalam uji kaji pertamanya, pendaratan agak pendek. Beliau melayang sekitar 0.5 meter dari tanah.

Jika melihat bagaimana Stark membuat ujian penerbangan sehingga terjatuh dan terhempas di atas kereta di dalam garaj, begitulah keadaan yang sama dihadapi Browning. Peristiwa (terjatuh) itu sebenarnya telah membuahkan idea kepada Browning untuk mengikat enjin jet pada tubuhnya.

"Cara mengimbangi turbin sama seperti Tony Stark dalam filem itu. Apabila Stark mula-mula membina kostum di dalam makmalnya dan berlaku huru hara. Memang nampak lucu tetapi itulah sebenarnya yang berlaku,” katanya.

UJIAN penerbangan yang dirakam menggunakan sut terbang ciptaan Browning. Foto: www.redbull.com
UJIAN penerbangan yang dirakam menggunakan sut terbang ciptaan Browning. Foto: www.redbull.com

Kuasa

Berkat inspirasi daripada bapanya seorang jurutera aeronautik, Browning berjaya mencipta sut terbang lengkap enam turbin gas dengan berat 130 kilogram dengan kos dianggarkan kira-kira £40,000 (RM185,434).

Rekaan fitur baharu itu semakin ditambah baik dengan kelengkapan tambahan seperti gogal paparan realiti bersama lensa holografi yang dibekalkan Sony selain mampu bergerak pada kelajuan hingga 450km per jam.

Paparan lensa holografi tersebut membolehkan Browning melihat tahap bahan bakar selain merancang untuk penambahan ciri baharu seperti sistem pengimbangan automatik, skrin LCD fleksibel sesentuh dan lengan titanium 3D.

Hasil usaha penyelidik Inggeris itu, Gravity Industries menjadi perusahaan terkemuka dengan paten sut terbang pertama di dunia selain aktif mengadakan demonstrasi di lebih 20 negara.

SET gauntlet yang dipasang pada tangan untuk menerbangkan sut. Foto: www.redbull.com
SET gauntlet yang dipasang pada tangan untuk menerbangkan sut. Foto: www.redbull.com

Kepada Evening Standard, Browning memberitahu, inovasi yang dipertingkatkan dengan teknologi baharu tersebut memiliki kuasa yang cukup untuk terbang pada ketinggian 1,000 kaki dan sejauh 100 batu dalam tempoh sejam.

Namun untuk tujuan demonstrasi ujarnya, beliau hanya menggunakannya dalam tempoh seminit pada ketinggian satu atau dua meter sahaja kerana tidak mahu melanggar peraturan penerbangan.

"Perasaan ketika terbang sangat istimewa dan menyuntik keterujaan. Pada saat menghidupkan enjin dan menggerakkan tangan ke bawah sebelum kuasa tujahan menegak ke atas, saya boleh rasakan berat badan itu keluar dari kaki dan melayang bebas di ruang udara.

"Jika saya memanipulasi tangan dengan cara tertentu, saya dapat bergerak di ruang tiga dimensi," bicaranya bersunguh.

Mengulas mengenai kebimbangan jika berlaku kegagalan enjin, Browning berkata, teknologi survivability dibangunkan untuk mendapatkan ketinggian yang mana payung terjun boleh digunakan jika berlaku kecemasan.

Perasaan khuatir itu tetap ada meskipun hanya berlaku sekali ketika 'penerbangan'. Pun demikian, beliau menyifatkan musibah itu kurang bahaya berbanding kemalangan motosikal.

BROWNING meneliti set sut terbang di bengkelnya. Foto: www.redbull.com
BROWNING meneliti set sut terbang di bengkelnya. Foto: www.redbull.com

Bercakap kepada Telegraph pada Jun lalu, bapa kepada dua anak itu turut memasang impian mencipta beberapa teknologi baharu yang boleh digunakan sempena siri kejohanan perlumbaan sut terbang Gravity yang dijangkakan awal tahun 2020.

Browning berkata, beliau cuba mengubah sut terbangnya menjadi perniagaan. Ya, idea itu memang menjadi apabila beliau berjaya menjual sut rekaannya pada harga AS$250,000 (RM1,037,650) kepada jutawan Jepun untuk siri perlumbaan itu manakala AS$440,000 (RM1,826,264) kepada seorang usahawan di New York, Amerika Syarikat.

Sembilan sut terbang kini boleh dijual melalui Selfridges pada harga setiap seunit £340,005 (RM1,574,946).

Bagaimanapun Browning berkata, beliau tidak terburu-buru untuk memenuhi impian peruncitan tersebut memandangkan perlu berhati-hati melibatkan model utama yang tidak mungkin boleh dijual dengan harga semurah itu.