Mahkamah tolak rayuan TNB kes saman penduduk Lembah Bertam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk kebenaran merayu dalam saman dikemukakan penduduk Lembah Bertam, Cameron Highlands terhadap syarikat itu berhubung kejadian banjir kilat di kawasan itu pada 2013.

Keputusan sebulat suara itu disampaikan oleh panel tiga hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Hakim Zawawi, yang mempengerusikan panel itu memerintahkan TNB membayar RM20,000 sebagai kos.

Pada 11 Disember 2018, TNB gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati syarikat itu cuai sehingga menyebabkan kejadian banjir di Lembah Bertam pada 2013.

Mahkamah Tinggi, pada Mei tahun lepas, membenarkan saman dikemukakan oleh 100 penduduk terbabit memutuskan wujud kecuaian di pihak TNB selaku pemilik dan pengendali Empangan Sultan Abu Bakar.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan memerintahkan jumlah ganti rugi dinilai oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah.

Penduduk berkenaan turut diberikan RM50,000 sebagai kos oleh Mahkamah Tinggi dan RM20,000 sebagai kos oleh Mahkamah Rayuan.

Penduduk terbabit menyaman TNB bagi kecuaian dalam menguruskan tempat takungan air Ringlet di Empangan Sultan Abu Bakar yang menyebabkan banjir di kawasan itu pada Oktober 2013.

Artikel Berkaitan:

Dalam saman difailkan pada 2 November 2015, penduduk mendakwa TNB telah melepaskan air dari empangan itu ke Sungai Bertam pada 12.20 pagi, 23 Oktober 2013, berikutan hujan lebat pada hari sebelumnya tanpa memberikan sebarang amaran.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, mereka mendakwa pada hari yang sama pada 1 pagi, TNB sekali lagi melepaskan air ke Sungai Bertam menyebabkan banjir di kawasan hulunya.

Penduduk mendakwa lebih banyak air dilepaskan oleh TNB pada 2.45 pagi hari yang sama, mengakibatkan banjir yang telah memusnahkan harta benda mereka dan meragut empat nyawa.

Mereka mendakwa TNB telah bertindak cuai apabila membuka pintu air di empangan itu sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa memberikan sebarang amaran kepada penduduk dan bahawa mereka tidak sempat untuk berpindah dari rumah dan memindahkan barangan mereka ke kawasan lebih tinggi.

TNB diwakili barisan peguam diketuai Datuk Cyrus Das, manakala penduduk berkenaan diwakili peguam, M Manogaran dan M R Kumar. - Bernama