Peguam terus usaha cabar kewujudan sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas gagal memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan, peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz bakal memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi bagi mencabar dari segi perlembagaan kewujudan sekolah vernakular.

Mohd Khairul Azam berkata, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu undang-undang sama ada Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

"Saya telah pada hari ini mengarahkan pasukan peguam saya untuk memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

"Ini menunjukkan bahawa sesetengah laporan media tempatan adalah tidak betul dan mengelirukan.

"Kononnya tindakan saya untuk mendapatkan deklarasi bahawa sekolah vernakular adalah tidak sah, telah pun diputuskan meritnya oleh Mahkamah Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khairul Azam berkata, tindakan baharunya itu (failkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi) menunjukkan bahawa Mahkamah Persekutuan belum lagi memutuskan sama ada Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak.

Dalam usul yang difailkan pada 23 Oktober lalu, peguam itu memohon perisytiharan daripada Mahkamah Persekutuan bahawa keputusan Parlimen meluluskan pindaan kepada Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 supaya kewujudan sekolah vernakular diteruskan adalah tidak mengikut perlembagaan.

Pada 11 November, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed menolak permohonan Mohd Khairul Azam untuk memperoleh kebenaran bagi mencabar dari segi perlembagaan kewujudan sekolah vernakular.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perkara yang dikemukakan itu perlu dimulakan di Mahkamah Tinggi dan bukannya terus ke Mahkamah Persekutuan.

Mohd Khairul Azam memfailkan usul tersebut dengan menamakan Kerajaan Malaysia dan Menteri Pendidikan selaku responden.