Cabar Sanusi bawa tuntutan ke mahkamah - Faiz

Muhammad Faiz
Muhammad Faiz
A
A
A

GEORGETOWN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dicabar supaya membawa tuntutan beliau ke mahkamah kerana prinsip undang-undang menyatakan bahawa orang yang mendakwa perlu membawa bukti.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, Muhammad Sanusi sering kali membangkitkan isu kedaulatan Pulau Pinang dengan mendakwa negeri itu milik Kedah apabila merujuk kepada sejarah lama ratusan tahun dahulu.

Menurutnya, pemimpin nombor satu Kedah itu selalu membuat dakwaan mempunyai dokumen menyokong kenyataan tersebut, namun sehingga sekarang tiada satu dokumen sahih dan berkuatkuasa disebut dan ditunjukkan olehnya.

Tambah beliau, walaupun ramai pakar undang-undang termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggah dakwaan beliau kerana tidak faham Perlembagaan, namun Muhammad Sanusi masih berdegil mempertahankan dakwaan tersebut walaupun tanpa asas dan bukti sokongan.

"Kenyataan beliau ini boleh mengelirukan orang ramai selain boleh menimbulkan suasana tegang dan kegelisahan dalam kalangan rakyat terutama generasi muda.

"Generasi muda perlu dididik dengan ilmu dan fakta yang betul, bukannya dakwaan kosong seperti bisingnya lato-lato," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Muhammad Faiz berkata, kewujudan undang-undang bertulis iaitu Akta Kedah Dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) adalah bukti jelas serta dokumen konklusif bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat dan bukan milik Kedah.

"Walaupun Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang kewujudan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang diiktiraf dalam Persekutuan Malaysia, namun Akta 325 ini adalah undang-undang konklusif dan merupakan perjanjian sah serta mengikat kedua-dua negeri.

"Ini adalah kerana akta ini masih berkuatkuasa dan digubal bagi menentukan sempadan kedua-dua negeri. Apabila akta memperuntukkan sempadan, maka wujud lah sebuah negeri yang berdaulat. Akta ini menyebut tentang Pulau Pinang dan sempadan dengan Kedah yang digubal berdasarkan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan yang mana, akta ini dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu," katanya.

Muhammad Faiz turut mempersoalkan mengapa Muhammad Sanusi tidak bersuara membantah akta tersebut ketika ia digubal.

"Adakah Muhammad Sanusi mahu menafikan satu akta yang diluluskan secara sahih? Kenapa beliau tidak bersuara membantah akta ini ketika digubal? Adakah Muhammad Sanusi mahu dianggap mengingkari Majlis Raja-Raja Melayu?

"Kenaifan Muhammad Sanusi dalam memahami undang-undang meletakkan diri beliau tidak layak untuk terus menjawat jawatan utama pentadbiran negeri.

"Pentadbiran negeri dipandu oleh undang-undang dan jika beliau tidak memahami undang-undang, bagaimana beliau boleh mentadbir dengan baik," katanya.

Beliau turut mengingatkan Muhammad Sanusi agar tidak lupa tentang sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang dibuat ketika merdeka dan pembentukan negara ini yang mengandungi negeri Kedah dan Pulau Pinang di dalam Perjanjian Persekutuan Malaya 1957.