Royalti minyak: Jangan buta sejarah, kata Hadi

ABDUL HADI
A
A

KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan agihan wang tunai petroleum (WTP) atau royalti perlu disalurkan secara terus kepada kerajaan Terengganu mengikut perjanjian asal.

Katanya, ia berdasarkan perjanjian asal yang dimeterai oleh Petronas bersama kerajaan Terengganu pada tahun 1975.

"Itu perjanjian, mungkin dia tak baca, kena bacalah. Mungkin dia baru dalam politik.

"Perkataan royalti ditulis dalam belanjawan tahun 80-an, 90-an malah dalam penyata kewangan juga ditulis sebagai royalti bukan perkataan lain," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Forum Multaqa Ulama Nusantara di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, perjanjian yang termaktub itu bukan hanya melibatkan Terengganu bahkan seluruh negeri di Malaysia.

"Jangan buta sejarah, dia kena baca balik perjanjian pada 1975 antara Petronas dengan semua kerajaan negeri, bukan Terengganu sahaja tetapi semua kerajaan negeri di Malaysia.

"Negeri-negeri itu telah memeterai perjanjian sekiranya terdapat hasil petroleum sama ada di darat atau di laut hendaklah diserah kepada Petronas.

"Lima peratus royalti diserahkan kepada kerajaan Terengganu manakala lima peratus kepada kerajaan Pusat bakinya pula Petronas agih kepada syarikat-syarikat yang bersamanya," katanya.

Terdahulu, PH Terengganu dalam kenyataannya berharap kerajaan Persekutuan mempertimbangkan permohonan supaya bayaran wang royalti minyak negeri itu disalurkan menerusi agensi kerajaan Pusat bagi memastikan pengagihannya dilakukan dengan adil tanpa mengira politik.

Pengerusinya, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pihaknya mengemukakan permohonan itu kerana terdapat rungutan WTP yang dibayar terus kepada kerajaan Terengganu tidak diagihkan secara adil kepada rakyat.

Katanya, beberapa agensi kerajaan Pusat akan dicadangkan untuk menguruskan wang royalti itu termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang akan mula dilaksanakan di negeri ini bermula 1 Januari nanti.