Dijel sebulan gara-gara pukul anak saudara buat bising

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas kesalahan mencederakan anak saudaranya sendiri kerana membuat bising.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu setelah tertuduh, S Ahmad Thani Junus @ Abdul Razak, 46, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Azlina Wati Esa, 31, pada 20 Oktober lalu, kira-kira jam 7 petang di sebuah rumah di Manir di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalahnya direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan daripada tarikh sabitan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memaki hamun anak saudaranya yang juga pengadu kerana membuat bising tanpa sebab pada waktu Maghrib.

Pengadu kemudian memberitahu kepada bapa saudaranya itu supaya tidak mengambil tahu urusan peribadinya.

Artikel Berkaitan:

Lanjutan daripada itu, tertuduh kemudian menghampiri pengadu dan bertindak mencekiknya di leher, menolak kepala pengadu selain menumbuk dan menyepaknya sehingga pengadu mengalami trauma dan kesakitan.

Tertuduh telah ditahan pada 27 Oktober lalu oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.