Manual Pengurusan Rumah Selangorku dikeluarkan akhir tahun ini

Haniza Talha
Haniza Talha
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang melengkapkan garis panduan Manual Pengurusan Rumah Selangorku bagi mengawal unit-unit kediaman berkenaan disewakan kepada pihak ketiga.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha berkata, garis panduan berkenaan yang dijangka dikeluarkan akhir tahun ini bertujuan bagi menetapkan tindakan-tindakan yang boleh diambil terhadap pembeli Rumah Selangorku yang melanggar syarat ditetapkan kerajaan Selangor.

Beliau berkata, antara kandungan garis panduan berkenaan adalah dengan meletakkan tanggungjawab kepada pemaju supaya mengadakan sesi taklimat kepada pembeli sebelum membuat serahan kunci unit-unit kediaman terbabit.

"Sebelum serah kunci pemaju akan dikehendaki mengadakan sesi taklimat tentang pengurusan unit-unit Rumah Selangorku tentang peraturan ditetapkan antaranya tidak boleh membela haiwan peliharaan, sewakan unit kepada pihak lain dan perlu menjaga harta secara bersama.

"Ini semua kita masukkan dalam manual berkenaan malah ia bukan hanya untuk Rumah Selangorku tapi juga melibatkan pangsapuri lain yang diuruskan oleh badan pengurusan bersama (JMB)," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Haniza berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Azmizam Zaman Huri (PKR-Pelabuhan Klang) berhubung keperluan buat kerajaan Selangot untuk mengadakan kursus sehari bersama pembeli Rumah Selangorku sebelum penyerahan kunci dilakukan kepada mereka.

Mengulas lanjut Haniza berkata, berdasarkan rekod sehingga kini Lembaga Pengurusan Hartanah Selangor (LPHS) melakukan sesi lawatan tapak merangkumi 19 unit Rumah Selangorku bagi tujuan siasatan atas kesalahan penyewaan kepada pihak ketiga.

"Dari jumlah itu enam unit Rumah Selangorku telah dikenakan notis oleh LPHS berikutan disewakan kepada warga asing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Haniza berkata, LPHS akan mengambil beberapa tindakan awal sekiranya mendapat maklumat terdapat unit-unit Rumah Selangorku yang disewakan kepada orang lain antaranya dengan menjalankan siasatan dan meneliti semula proses penawaran kepada pihak berkaitan.

"Kemudian kita akan keluarkan notis untuk mendapatkan keterangan daripada pembeli yang menyewakan unit mereka terbabit serta melakukan tindakan penyelarasan bersama Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.