Guna bahasa Melayu betul dalam program kerajaan Melaka: Ketua Menteri

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Semua program yang dianjurkan kerajaan Melaka serta jabatan dan agensi di bawahnya perlu menggunakan bahasa Melayu yang betul.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia penting kerana kerajaan negeri meletak keutamaan kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai sebuah medium berkesan dalam menyampaikan maklumat terutama berkaitan dasar dan inisiatif dilaksanakan untuk rakyat.

"Saya yakin bahawa kita sepatutnya lebih mengutamakan bahasa kita (bahasa Melayu) untuk menyampaikan maklumat. Gunakan bahasa Melayu dalam medium (penyampaian maklumat) menjadi keutamaan kecuali kalau kita ada program yang disertai (peserta) antarabangsa yang memerlukan penggunaan bahasa kedua seperti bahasa Inggeris dan lain-lain barulah kita gunakan (sebagai sokongan)," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gesaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa majlis rasmi kerajaan wajib menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam usaha memartabatkan bahasa itu sebagai bahasa ilmu.

Anwar mengulangi pendirian itu pada Konvensyen PKR Melaka di sini, Ahad lepas, sambil menegaskan semua rakyat Malaysia digalakkan mempelajari pelbagai bahasa tetapi tanpa kompromi, beliau menyatakan pendirian setiap rakyat Malaysia wajib menguasai bahasa Melayu.

Adly berkata, gesaan Anwar mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam program kerajaan amat dialu-alukan kerajaan negeri dan menjadi pendirian kerajaan negeri meletak keutamaan menggunakan bahasa rasmi negara itu.

"Bukan sahaja penggunaan bahasa Melayu sahaja tetapi memahami istilah (dalam kalangan pegawai kerajaan negeri) yang penting dan paling penting penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam setiap program. Itu yang harus kita beri keutamaan," katanya.

Sarimah Ismail, 43, seorang pensyarah di kolej swasta dari Bukit Katil di sini, berkata langkah kerajaan negeri memberi keutamaan penggunaan bahasa Melayu yang betul itu adalah penting bagi memastikan setiap pegawai kerajaan di negeri ini dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Terutama pegawai barisan hadapan seperti petugas kaunter dan khidmat masyarakat kerana bahasa mencerminkan tahap kesopanan kepada rakyat dengan bahasa Melayu yang betul, perkhidmatan nampak elok serta mesra tetapi bahasa kasar atau pasar cerminkan imej negatif kepada kerajaan negeri," katanya.

Atiqah Hasanah Roslee, 44, seorang guru bahasa Inggeris dari Tehel, di sini berkata, adalah penting untuk generasi muda menguasai pelbagai bahasa, namun mempersoalkan kemampuan generasi itu menyampaikan ilmu yang dipelajarinya kepada rakyat negara ini tanpa kemahiran berbahasa Melayu.

"Majoriti rakyat di negara ini menguasai bahasa Melayu. Kalau tidak mampu berbahasa Melayu, apa medium lain yang dapat digunakan untuk sampaikan ilmu itu kerana itu Datuk Seri Anwar kata bahasa Melayu perlu jadi bahasa ilmu supaya ilmu dapat disampaikan kepada rakyat secara menyeluruh, seterusnya bantu bangunkan rakyat serta negara," katanya. - Bernama