SRC: Najib diarah bela diri

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diperintah untuk membela diri terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Ghazali berkata, Najib mempunyai kepentingan dalam SRC dan kawalan penuh menyebabkan RM42 juta didepositkan ke akaun bagi kepuasan beliau.

“Meskipun mempunyai pengetahuan terdapat wang dimasukkan ke dalam akaun, tertuduh (Najib) tidak mengarahkan supaya laporan polis dibuat,” katanya.

Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bersama Timbalan Pendakwa Raya ‘ad-hoc’, Datuk V Sithambaram, manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.

Mahkamah seterusnya memberi tiga pilihan untuk membela diri kepada Ahli Parlimen Pekan berkenaan iaitu pertama, memberi keterangan dengan bersumpah dari kandang saksi; kedua memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang saksi atau ketiga memilih untuk berdiam diri.

Najib membuat pilihan pertama, memberi keterangan secara bersumpah (yang mana beliau akan dikenakan pemeriksaan silang oleh pihak pendakwaan).

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 dan 4 Disember sebagai tarikh mula bela diri.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat ini, Muhammad Shafee memohon agar mahkamah membenarkan pihak pembelaan melihat senarai nama saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan, Najib ketika memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Advisor Emeritus (Penasihat Emeritus) SRC International Sdn Bhd didakwa atas dua tuduhan pecah amanah jenayah pada 4 Julai 2018.

Beliau yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, dituduh melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM27 juta dan RM5 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group dekat Jalan Raja Chulan antara 24 Disember hingga 29 Disember 2014.

Bagi kesalahan ketiga, Najib didakwa melakukan jenayah sama, membabitkan wang berjumlah RM10 juta di lokasi sama antara 10 Februari hingga 2 Mac 2015.

Bagi semua tuduhan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi tuduhan rasuah pula, Najib dengan kedudukan sama, didakwa menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terbabit dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Kesalahan dilaporkan berlaku di Pejabat Perdana Menteri Presint 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 hingga 8 Februari 2012 dan beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694).

Najib berdepan hukuman mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 8 Ogos 2018 pula, Najib didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil daripada aktiviti haram melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di Bank AmIslamic.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bank AmIslamic Berhad, Bangunan AmBank Group, No 55 Jalan Raja Chulan pada 26 Disember 2014.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM10 juta di lokasi dan cara yang sama.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi.

Terdahulu, pihak pendakwa menutup kesnya pada 27 Ogos lalu dengan mengemukakan 57 saksi sepanjang 58 hari perbicaraan bermula 3 April lalu.

Sepanjang perbicaraan, pendakwa mengemukakan lebih 750 barang kes antaranya dokumen berkaitan akaun bank milik Najib, dokumen pemindahan wang, minit mesyuarat dan Blackberry Messanger mengenai transaksi wang Najib.

Najib merupakan Perdana Menteri pertama dihadap ke mahkamah atas tuduhan melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.