Sekolah satu aliran satukan kaum

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEMAKMURAN dan kemajuan sesebuah negara banyak bergantung kepada perpaduan dan semangat kecintaan kerana tanpa kedua-duanya sukar bagi sesebuah negara mencapai kemajuan yang diidamkan.

Di Malaysia, semangat bersatu padu sentiasa dilaungkan oleh banyak pihak termasuk ahli politik dan golongan pemerintah terutama ketika sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Tidak dinafikan perpaduan dan semangat patriotisme bukan mudah untuk diwujudkan.

Dalam kalangan Melayu selaku penduduk majoriti Malaysia, wujud perpecahan dan perbalahan sesama mereka. Apa lagi dalam sebuah negara yang dihuni kaum Cina, India dan kelompok lain.

Paling tidak setiap etnik atau kaum sedikit sebanyak ada sentimen assabiyah atau semangat kesukuan terhadap puak masing-masing.

Pada hemat penulis, dalam sebuah negara yang diwarnai pelbagai keturunan Malaysia seharusnya mempunyai satu sahaja sistem pendidikan.

Di Malaysia, selain sekolah kebangsaan, kita turut mempunyai sekolah vernakular yang menggunakan bahasa pengantar Cina dan Tamil.

Jadi usaha membentuk kesatuan dalam kalangan penduduk dari peringkat awal sudah ada sedikit kesukaran kerana orang muda diasingkan daripada bergaul dan berasimilasi sesama mereka.

Ini menyumbang kepada jurang persefahaman antara kaum. Setiap kaum di Malaysia sudah diasingkan dalam bentuk pendidikan, sedikit sebanyak mereka akan mempunyai mentaliti mengasingkan diri daripada bergaul dengan kaum lain.

Artikel Berkaitan:

Mereka juga akan lebih selesa menggunakan bahasa ibunda masing-masing sedangkan faktor bahasa boleh menjadi alat penyatuan dalam sesebuah negara.

Lihat sahaja Thailand dan Indonesia, penduduk di situ sudah selesa berbahasa Siam begitu juga masyarakat Tionghua Indonesia yang selesa berbahasa Indonesia. Itu semuanya hasil sekolah satu aliran kebangsaan.

Cara terbaik

Di negara maju sekalipun, mereka hanya mempunyai satu sistem pendidikan aliran nasional walaupun negara dihuni berbilang bangsa. Mereka sedar kesatuan, perpaduan dan semangat patriotisme tidak wujud jika setiap penduduk membawa kepala masing-masing.

Menurut Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Teo Kok Seong, gabungan sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama adalah cara terbaik meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.

Katanya, sistem sekolah vernakular yang diamalkan sejak dahulu lagi menghalang pembentukan identiti nasional daripada didokong oleh anak bangsa selain mewujudkan pengasingan etnik di negara ini.

Menurutnya, mereka yang menentang cadangan itu dilihat kurang kepercayaan antara kaum kerana berpendapat jika baik untuk kaum Melayu, mungkin buruk untuk kaum Cina dan India dan sebaliknya.

Sikap itu timbul kerana mereka tidak bercampur antara satu sama lain sejak di bangku sekolah. Orang Melayu ke sekolah kebangsaan atau agama manakala Cina dan India ke sekolah jenis kebangsaan.

Bila mereka masuk tingkatan satu di sekolah kebangsaan, mereka tidak dapat bercampur dan 'ia sudah terlambat.'

Pendapat itu juga disokong Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar bahawa masalah perpaduan kaum berpunca daripada sistem persekolahan yang tidak selaras.

“Isu itu sudah lama dibahaskan kerana jika kita lihat isu sekolah vernakular sebenarnya ia tidak dapat menyatukan kaum.

“Jadi sekolah satu aliran adalah cara terbaik untuk mendidik serta memupuk integrasi nasional dalam kalangan generasi masa depan yang bakal mewarisi negara ini,” katanya.

Bagi penulis pula, matlamat utama penubuhan sekolah satu aliran amat jelas iaitu untuk perpaduan nasional yang tulen, sejati dan harmoni.

Sekolah satu aliran perlu diterima sebagai satu wahana membentuk identiti dan jati diri rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Identiti dan jati diri setiap kaum juga akan terus wujud sebagai komponen penting yang mewarnai dan mewujudkan perpaduan sejati di Malaysia.

Melalui sekolah satu aliran, murid kaum lain masih berhak mempelajari bahasa ibunda masing-masing di samping membolehkan mereka memupuk dan mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional.

Oleh demikian, pihak kerajaan perlu berusaha melaksanakan sekolah satu aliran untuk memupuk perpaduan kaum kerana pendidikan dianggap sebagai satu elemen penting bagi menyatupadukan rakyat.