Terengganu nafi halang atlet gimnastik sertai pertandingan

Wan Sukairi Wan Abdullah
Wan Sukairi Wan Abdullah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menegaskan, tidak pernah menghalang atlet bangsa dan agama lain untuk menyertai pertandingan, asalkan melepasi kelayakan iaitu berpotensi untuk meraih sebarang pingat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tidak menolak akan mengambil alih MSNT.

Ia susulan laporan sebuah portal berita yang mendakwa gimnas di Terengganu tidak dibenarkan menyertai pertandingan ekoran isu pakaian digunakan untuk sukan terbabit.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, garis panduan patuh syariah masih dalam pemurnian dan belum lagi dilaksanakan di negeri ini.

“Garis panduan itu juga bukan untuk sukan sahaja, tetapi merangkumi semua aspek-aspek lain. Malah, jika garis panduan patuh syariah diguna pakai sekalipun, Terengganu tidak akan memaksa rakyat beragama lain.

“Apa yang berlaku adalah kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) belum membuat keputusan lagi atlet mana yang akan bertanding dalam SUKMA kerana pendaftaran belum lagi dibuka dan dibuat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Jelas Wan Sukairi, MSNT hanya akan menghantar atlet yang berpotensi tinggi untuk mewakili kontinjen negeri.

Penyertaan itu katanya, perlu mendapat kelulusan dasar Jawatankuasa Pengurus terlebih dahulu dan apabila pendaftaran ‘by name’ dibuka oleh tuan rumah, Johor.

Artikel Berkaitan:

“Atlet bangsa dan agama lain tidak dihalang untuk penyertaan, asalkan melepasi kelayakan iaitu berpotensi untuk meraih sebarang pingat. Agak sukar untuk mendapat atlet berbangsa Cina di Terengganu yang berpotensi tinggi dan sanggup mengorbankan masa akademik mereka untuk berlatih secara berkualiti.

“Mereka tidak akan mengorbankan masa tuisyen petang mereka untuk berlatih. Sebab itu kita sukar nak dapatkan atlet berpotensi tinggi dalam sukan gimnastik, renang dan wusyu, bukan kita mendiskriminasikan kaum,” katanya.

Semalam, Syed Saddiq dalam laman twitter rasminya menyatakan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan bertoleransi jika benar dakwaan kerajaan Terengganu menggantung penyertaan atlet wanita mereka dalam sukan gimnastik.

Beliau turut menyatakan akan bertemu dengan atlet yang terbabit bagi memastikan masa depan mereka dalam gimnastik tidak terjejas, selain segera mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan masalah itu.