Tiba masa kerajaan bantu biayai penyelidikan orang utan

Mustapha Kamal (dua dari kiri) menyaksikan MoU antara YPOUBM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifbya, Dr D Sabapathy bersama Ketua Pengarah Seoul Grand Park, Song Chun Hun (dua dari kanan).
Mustapha Kamal (dua dari kiri) menyaksikan MoU antara YPOUBM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifbya, Dr D Sabapathy bersama Ketua Pengarah Seoul Grand Park, Song Chun Hun (dua dari kanan).
A
A
A

BAGAN SERAI - Sudah tiba masa kerajaan tampil membantu membiayai program penyelidikan dan pendidikan dijalankan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM), kata Penasihat MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

Beliau berkata, bantuan dana itu bagi membolehkan YPOUBM membangun dan meningkatkan keupayaan penyelidikan sebagai sumber maklumat utama dunia berkaitan orang utan.

Menurutnya, sejak pulau orang utan dibuka pada 2000 lalu, yayasan telah membuktikan pencapaiannya dengan meraih pelbagai pengiktirafan termasuk diiktiraf sebagai pusat pemuliharaan ex-situ bagi penyelidikan orang utan.

"Asasnya (penyelidikan) sudah pun kami tubuhkan tetapi untuk bawa ke peringkat lebih tinggi itu memerlukan kapasiti kewangan dan dana sokongan yang besar sedangkan kami di sini sudah ibarat kais pagi makan pagi.

"Jadi saya kira sudah sampai masanya kerajaan patut ambil alih dan bantu menaik taraf lagi kemudahan-kemudahan yang ada dari segi bekalan ubat dan latihan-latihan renjer.

"Ini bukan untuk yayasan tetapi untuk kelangsungan pemulihan dan penjagaan orang utan yang semakin pupus," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YPOUBM dengan Seoul Grand Park Zoo (SGPZ) di Pulau Orang Utan Bukit Merah di sini hari ini.

Program penyelidikan dan pendidikan dijalankan YPOUBM menerima pembiayaan awal berjumlah RM1 juta menerusi Yayasan Emkay dan sehingga kini sebanyak RM6.62 juta telah dilaburkan bagi tujuan itu.

Mengulas lanjut, Mustapha Kamal yang juga Pengasas YPOUBM berkata, kepercayaan diberikan SGPZ iaitu zoo pertama di Korea Selatan itu membuktikan kepakaran YPOUBM diakui pihak luar.

Artikel Berkaitan:

"Demi kebaikan orang utan saya cabar kerajaan berikan sedikit peruntukan kepada yayasan untuk membolehkan lebih banyak penyelidikan dan jalinan kerjasama dengan pelbagai negara," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Seoul Grand Park, Song Chun Hun berkata, kerjasama itu bagi meningkatkan kecekapan mereka dalam bidang zoologi terutama berkaitan spesies orang utan.

"YPOUBM terkenal di seluruh dunia dalam kapasiti pemuliharaan khususnya aspek primatologi seperti tingkah laku haiwan primitif dan ekologi, penjagaan serta perubatan veterinar dan biologi pemuliharaan.

"Kerjasama ini sudah tentu dapat mewujudkan ruang untuk kami menerokai program lanjutan dengan pertukaran kepakaran saintifik dalam bidang perubatan veterinar dan pemuliharaan hidupan liar," katanya.

SGPZ kini menjadi tarikan utama di Seoul Grand Park dengan mempunyai lebih 3,300 spesis haiwan dari seluruh pelusuk dunia termasuk enam ekor orang utan.