Tragedi basikal lajak: Pendakwaan fail notis rayuan

Pada 28 Oktober lalu, Majistret Siti Hajar Ali melepas dan membebaskan seorang jurujual, Sam Ke Ting, 24, daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal pada 18 Februari 2017.
Pada 28 Oktober lalu, Majistret Siti Hajar Ali melepas dan membebaskan seorang jurujual, Sam Ke Ting, 24, daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal pada 18 Februari 2017.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pihak pendakwaan hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal dua tahun lalu.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Amir Nasruddin berkata, notis rayuan itu difailkan selepas pihaknya mendapati dan percaya terdapat merit dalam memfailkan notis itu terhadap beberapa isu.

"Pendakwaan failkan notis rayuan terhadap keputusan majistret yang melepas dan membebaskan tertuduh di akhir kes pendakwaan.

"Kita percaya terdapatnya merit pada notis rayuan yang dibuat ini terutamanya dalam beberapa isu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Superintendan Mohd Yusop Mohd Ali.

Pihak pendakwaraya memfailkan notis rayuan berkenaan di kaunter Mahkamah Sesyen/Majistret di sini kira-kira jam 9.30 pagi.

Amir berkata, antara isu dan merit berkaitan kes seperti soal identiti tertuduh, lokasi kejadian yang gelap dan tertuduh orang yang tidak biasa dengan laluan di lokasi terbabit.

"Majistret kata tentang identiti tertuduh itu tidak dibuktikan oleh pendakwaan sedangkan tertuduh sendiri melalui peguam bela tidak pernah pertikai isu ini.

Artikel Berkaitan:

"Tentang dapatan menyatakan lokasi kejadian itu gelap, sedangkan kita sudah kemukakan bukti bahawa tempat itu pencahayaannya adalah cukup," katanya.

Tambahnya, isu lain mengenai dapatan bahawa mana-mana orang yang tidak biasa dengan laluan dilaluinya dianggap tidak bersalah disifatkan sebagai bukan satu benda yang tepat.

Amir dalam pada itu menafikan dakwaan bahawa notis rayuan dibuat atas desakan pihak keluarga mangsa atau pihak lain malah menyifatkan ia proses biasa terhadap sesuatu keputusan mahkamah.

"Tiada desakan mana-mana pihak dan ini adalah proses biasa. Kita failkan notis rayuan terlebih dahulu, kemudian menunggu alasan penghakiman daripada majistret.

"Selepas alasan penghakiman dikeluarkan, kita akan fail petisyen dan kemudian menunggu mahkamah untuk menetapkan tarikh bagi proses selanjutnya," katanya.

Pada 28 Oktober lalu, Majistret Siti Hajar Ali melepas dan membebaskan seorang jurujual, Sam Ke Ting, 24, daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal pada 18 Februari 2017. - Bernama