Jadikan pengajaran kes basikal lajak

Sam Ke Ting mengakui rasa bersalah akan menghantuinya sampai mati meskipun dia kini dibebaskan. - Foto: Bernama
Sam Ke Ting mengakui rasa bersalah akan menghantuinya sampai mati meskipun dia kini dibebaskan. - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kes seorang kerani wanita melanggar lapan remaja yang menunggang basikal lajak hingga menyebabkan kematian, enam tahun lalu akhirnya menemui titik noktah.

Ia selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya membuat keputusan melepaskan dan membebaskan responden, Sam Ke Ting daripada kesalahan berkenaan pada Isnin.

Ke Ting sebelum itu mengharungi beberapa proses kehakiman dan rayuan, namun Pada 13 April 2022, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkannya dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, kerana kesalahan memandu secara melulu.

Ia sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober 2021 yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada tuduhan berkenaan.

Keputusan itu diputuskan Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika keputusan rayuan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi tersebut.

Namun, biarpun kini dibebaskan, Ke Ting mengakui rasa bersalah akan menghantuinya sampai mati.

Kejadian yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru itu bagaimanapun mengemparkan seluruh negara ketika itu dan tidak dilupai sehingga sekarang.

Kemalangan tersebut juga menjadi perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia sama ada melibatkan kecuaian pemandu atau pengabaian ibu bapa.

Malah ramai tertanya-tanya mengapakah remaja lingkungan 13 hingga 17 tahun itu masih dibiarkan merayau melakukan aktiviti dengan basikal lajak pada jam 3 pagi.

Kebanyakan remaja ketika itu 'tergilakan' trend ubah suai basikal kononnya bagi menambah pecutan ketika menuruni bukit yang laju, lebih ringan dan memudahkan penunggang berada dalam posisi superman bagi daya aerodinamik.

Bukan itu sahaja, mereka juga gemar mematikan fungsi brek basikal bertujuan untuk menikmati luncuran ketika turun bukit.

Aktiviti itu tidak berbaloi dan mendatangkan faedah apatah lagi ia haram digunakan di atas jalan raya.

Ia sepertimana dikatakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Oktober 2019, bahawa basikal lajak iaitu basikal yang diubah suai sehingga mendatangkan situasi bahaya sememangnya haram berada di atas jalan raya.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim pula berkata, kes itu wajar dijadikan pengajaran kepada ibu bapa supaya tidak membiarkan anak-anak mereka berkeliaran sesuka hati.

Ujarnya, hanya sedikit kesilapan dilakukan mengundang kemalangan sehingga meragut nyawa dan mengheret seorang kerani wanita ke mahkamah atas tuduhan memandu secara melulu.

Bagaimanapun, sikap anak-anak kadang-kala di luar kawalan ibu bapa, maka semua pihak tidak kira pihak berkuasa atau masyarakat perlu memainkan peranan membenteras gejala tersebut.