Mana bukti pengurusan royalti Terengganu tidak telus: MB

Dr Ahmad Samsuri. FOTO: UPDI
Dr Ahmad Samsuri. FOTO: UPDI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menepis dakwaan mengatakan terdapat kepincangan dalam sistem urus tadbir kewangan di negeri ini terutama membabitkan pengurusan wang royalti minyak yang diterima daripada kerajaan pusat.

Menurutnya, dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad mengenai proses agihan yang tidak adil kepada rakyat tidak berlaku.

"Akaun kerajaan negeri bukan akaun rahsia. Perbelanjaan dan cara penggunaan kesemuanya melalui proses audit oleh agensi kerajaan pusat.

"Sekiranya berlaku apa-apa kepincangan dalam pengurusan kewangan, ia bukan boleh terlepas begitu sahaja. Jadi, saya tidak faham di mana asas terhadap dakwaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat 44 bayi yang lahir dalam Program Permata Maulidur Rasul peringkat Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, setakat ini penyaluran Wang Tunai Petroleum (WTP) secara terus oleh kerajaan pusat ke dalam akaun kerajaan negeri adalah efektif.

“Dakwaan ini serius. Beliau (Raja Bahrin) sepatutnya tampil untuk menjelaskan dakwaan itu, bukan hanya menyebarkan khabar angin semata-mata. Sila buat laporan atas apa yang didakwa, jangan secara semberono begini.

"Kita di peringkat negeri sentiasa terbuka sekiranya ada penambahbaikan diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Namun mengapa perlu dibuat kaedah baharu sedangkan kaedah sedia ada sudah memadai," katanya.

Terdahulu, PH Terengganu dalam kenyataannya berharap kerajaan Persekutuan mempertimbangkan permohonan supaya bayaran wang royalti minyak negeri ini disalurkan menerusi agensi kerajaan pusat bagi memastikan pengagihannya dilakukan secara adil tanpa mengira latar belakang politik.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pihaknya mengemukakan permohonan itu berikutan terdapat rungutan WTP yang dibayar terus kepada kerajaan negeri tidak diagihkan secara adil kepada rakyat.

Katanya, beberapa agensi kerajaan pusat akan dicadangkan untuk menguruskan wang royalti itu termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang akan mula dilaksanakan di negeri ini bermula 1 Januari nanti.