Pengisian janji harapan memuaskan

A
A
A

SAYA telah beberapa kali menulis di sana sini mengatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak gagal.

Malah, jika dibandingkan dengan kerosakan besar yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), kejayaan kerajaan PH memulihkan keadaan adalah amat menggalakkan.

Cuma banyak orang kita tidak tahu kerana mereka tidak lagi membaca, menonton dan mendengar maklumat daripada saluran formal seperti surat khabar, televisyen dan radio.

Mereka tersalah tafsir atau sengaja tidak mahu menggunakan saluran maklumat formal apabila berpindah dan bergantung kepada saluran media sosial untuk mendapatkan berita.

Daripada pengamatan saya, berdasarkan pengalaman bekerja dalam media sejak 1969 dan bergiat dalam media sosial dari 2006, saluran maklumat yang lengkap dan bertanggungjawab masih berupa surat khabar, televisyen dan radio atau laman-laman web rasmi organisasi media.

Jadi, saya rayulah kepada orang ramai supaya mendapatkan berita dan maklumat daripada saluran-saluran ini sama ada secara langsung atau melalui versi atas talian mereka.

Dalam bahasa yang mudah, dunia tanpa pengarang adalah memesongkan, jahil dan berbahaya.

Berbalik kepada pencapaian PH, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika ulang tahun pertama pemerintahan PH pada 9 Mei lalu bahawa bagi tempoh 10 Mei 2018 hingga 30 April 2019, sebanyak 39 peratus janji 'membina negara dan memenuhi harapan' telah ditunaikan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pencapaian itu diukur melalui status kemajuan sebanyak 464 inisiatif yang berupa dasar dan tindakan-tindakan khusus seperti yang dinyatakan dalam setiap janji.

Setakat itu sebanyak 53 daripada 128 inisiatif atau 11.42 peratus telah ditunaikan. Sebanyak 283 inisiatif atau 60.99 peratus lagi berada di peringkat perancangan.

Sejak itu kejayaan yang dicapai telah berlipat ganda. Maklumat mutakhir sehingga 30 September lalu menunjukkan sebanyak 101 inisiatif atau 21.77 peratus telah berjaya ditunaikan.

Sebanyak 239 inisiatif atau 51.51 peratus lagi sedang dalam pelaksanaan.

Ia menjadikan pencapaian keseluruhan janji kerajaan sebanyak 73.28 peratus, manakala 124 inisitif atau 26.72 peratus lagi adalah di peringkat perancangan atau belum dimulakan lagi.

Ia adalah prestasi yang cukup baik bagi sebuah kerajaan yang baru mengambil alih selama 17 bulan daripada sebuah kerajaan yang memerintah lebih 60 tahun dan meninggalkan banyak masalah serta kerosakan.

Kita kena ingat bahawa PH tidak berkata semua janji akan ditunaikan serentak.

Ada tiga tempoh masa bergantung kepada jenis janji. Ada yang akan ditunaikan dalam masa 100 hari hingga satu tahun, satu tahun hingga tiga tahun dan tiga tahun hingga lima tahun.

Kalau kita masih ingat, Buku Harapan yang berupa manifesto PH mengandungi lima teras dan lima iltizam khusus, 107 janji dan 464 inisiatif.

Lima teras tersebut adalah meringankan beban kehidupan rakyat, mereformasi institusi pentadbiran dan politik, merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 dan membina Malaysia yang iklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

Lima iltizam khusus pula adalah untuk warga Felda, masyarakat India, wanita, anak muda dan warga emas.

Bagi teras pertama, sebanyak 25 peratus telah ditunaikan, teras kedua (23.81 peratus), teras ketiga (21.43 peratus), teras keempat (31.71 peratus) dan teras kelima (16.42 peratus).

Di sinilah peranan media Malaysia Baharu yang telah dibebaskan daripada belenggu kerajaan kleptokrasi dan 'wahyu Putrajaya' membuat penyiasatan dan pendedahan.

Atau adakah mereka masih takut dan tidak berdaya? Atau menteri PH pun sama juga dengan menteri BN yang tidak toleransi dan manganggap media sebagai orang suruhan?

Saya harap tidak tetapi kalau ada wajib didedahkan. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara