X

Kindly register in order to view this article
!

Terus melangkah, jadi contoh kepada dunia: Mohd Azmi

Abdul Hamid - Foto fail
A
A

BUKIT JALIL - Penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019, Mohd Azmi Abdul Hamid menasihatkan rakyat Malaysia melangkah ke hadapan dan menjadi negara contoh kepada seluruh dunia.

Beliau yang juga Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, meskipun negara berdepan beberapa masalah namun Malaysia masih berpotensi untuk menjadi negara contoh.

“Tak seharusnya kita terus berkecamuk, temukan titik yang sepatutnya dan ikut apa yang telah diajar Rasulullah SAW kepada umatnya.

“Saya seru kepada generasi muda, merekalah yang menjadi harapan kita. Mereka harus lebih mendalami diri, bentuk diri dan menjadikan Rasulullah sebagai penanda aras atau satu asas rujukan.

“Hayati keperibadian Rasulullah, bina diri supaya jadi pembawa risalah Rasulullah. Siap sediakan diri untuk pikul amanah untuk kita bina negara Malaysia yang kita sayangi,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada Mohd Azmi dan penerima lain.

Turut menerima anugerah ialah Pakar Perundangan Syariah, Datuk Daud Muhammad yang dianugerahkan Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2019.

Selain itu, Ahli Akademik, Prof Datuk Dr Asma Ismail, Pelopor Hospital Mesra Ibadah, Datuk Dr Khalid Ibrahim dan bekas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye juga tersenarai sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019.

Dalam pada itu, Mohd Azmi menzahirkan rasa terharu dan berbangga kerana terpilih sebagai salah seorang penerima anugerah pada tahun ini.

“Saya merasa sangat kerdil dan sangat jauh dengan keperibadian Rasulullah SAW yang menjadi contoh kepada bukan saja umat Islam tetapi kepada seluruh manusia.

“Anugerah ini satu kaedah untuk beri motivasi baik kepada mereka yang masih kanak-kanak sampailah kepada yang dewasa,” katanya.

Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul menerima wang tunai berjumlah RM50,000 berserta hadiah trofi dan sijil penghargaan manakala penerima Anugerah Maulidur Rasul pula mendapat RM20,000 berserta hadiah trofi dan sijil penghargaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!