Masjid perlu bebas politik: Sultan Mizan

Sultan Mizan bertitah sempena Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Terengganu tahun 1441H di Stadium Negeri, di sini. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)
A
A

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya ahli jawatankuasa dan pegawai masjid memainkan peranan secara lebih efektif bagi memastikan fungsi masjid berjalan dengan baik dan bebas daripada fahaman politik kepartian.

Baginda bertitah, sebarang aktiviti yang diadakan di situ perlu mematuhi segala peraturan yang berkuat kuasa dan melaksanakan setiap arahan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Titah baginda, pihak bertanggungjawab perlu melaksanakan amanah yang diberikan bagi memastikan setiap aktiviti yang diadakan di rumah ibadat itu dapat memberi manfaat kepada ahli kariah dan masyarakat setempat.

"Beta menyeru supaya setiap aktiviti yang dirancang seperti ceramah, muzakarah, forum keagamaan dan sebagainya perlulah memberi manfaat kepada ahli kariah selain mengukuhkan perpaduan dalam kalangan mereka.

"Masjid juga perlu menjadi rujukan golongan memerlukan dalam kalangan ahli kariah sebelum mereka mendapatkan bantuan, terutama dalam kalangan asnaf.

"Di samping itu, urusan kewangan masjid juga perlu selari dengan hasrat penyumbang dan bukannya menyimpan tanpa dibelanjakan," titahnya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Terengganu tahun 1441H di Stadium Negeri di sini semalam.

Titahnya, tema sambutan Maulidur Rasul 'Negara Rahmah Ummah Sejahtera' kali ini bertepatan dengan tuntutan yang perlu direalisasikan dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Sultan Mizan turut berharap supaya kegemilangan institusi masjid seperti pada zaman Rasulullah SAW dapat dikembalikan di samping berusaha menjadikan ia sebagai pusat ilmu dan pemangkin kepada sosio ekonomi ummah.

"Masjid Nabawi misalnya bukan sahaja menjadi pusat ibadah dan pentadbiran malah dijadikan tempat menyatukan ummah serta mengukuhkan persaudaraan dalam kalangan masyarakat Islam di Madinah.

"Peranan institusi masjid pada waktu itu wajar dicontohi oleh institusi masjid sekarang," titah baginda.