Isu basikal lajak: Zahid sifatkan laporan polis hanya kenyataan politik

Ahmad Zahid menunggang motosikal pada Program Ramah Mesra di Pekan Kukup, Pontian hari ini.
Ahmad Zahid menunggang motosikal pada Program Ramah Mesra di Pekan Kukup, Pontian hari ini.
A
A
A

IPOH - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan laporan polis yang dibuat Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor, Taqiuddin Cheman terhadap beliau berhubung isu basikal lajak hanya kenyataan politik.

Ahmad Zahid berkata, kenyataan beliau secara keseluruhannya adalah bagi mewakili suara hati ibu bapa yang kehilangan lapan anak selain persepsi masyarakat yang tidak berpuas hati terhadap apa yang berlaku.

"Tak apa, sesiapa pun bebas buat tindakan kerana kenyataan itu adalah kenyataan politik.

"Tetapi saya tidak pernah menyentuh institusi perundangan dan saya tidak pernah menyebut pun tentang siapakah yang menjatuhkan hukuman," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Ramah Mesra di Pekan Kukup di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas laporan polis daripada Taqiuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian semalam.

Pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Johor Bharu membebaskan jurujual wanita, Sam Ka Ting, 24, daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.

Ahmad Zahid dilaporkan mempertikai keputusan mahkamah itu dalam satu ceramah di Tanjung Piai pada 7 November lalu.

Artikel Berkaitan: