Pelajar UniMAP ditemui selamat

Tuan Ahmad Amar ditemui selamat pagi tadi. Gambar kecil: Mohd Foad
A
A

KANGAR - Pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kejuruteraan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu telah ditemui.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, Tuan Ahmad Amar Tuan Azlan, 23,ditemui di Masjid Al Mustqim Kangar pada jam 7 pagi tadi.

Katanya, pelajar berkenaan ditemui dalam keadaan yang sihat dan selamat namun agak keletihan.

"Keluarga akan membawa beliau pulang ke kampung halaman yang terletak di Grik hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan kehilangan pelajar berkenaan yang dipercayai tidak pulang ke kediaman pelajar Unicity Alam di Sungai Chuchuh, Padang Besar sejak jam 8 malam Khamis lalu.