Pelancong China, Hong Kong dan Taiwan degil masih bawa daging babi

Pegawai Maqis Pulau Pinang bersama daging babi yang dirampas.
A
A

BAYAN LEPAS - Warga China, Hong Kong dan Taiwan didapati antara pelancong luar negara yang masih berdegil apabila membawa masuk daging babi walaupun kerajaan telah mengeluarkan arahan larangan bagi membendung penyebaran wabak demam babi Afrika (ASF).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Zarina Ramli berkata, tujuan larangan pengimportan adalah bagi menghalang risiko kemasukan penyakit ASF ke Malaysia selain ia boleh merosakkan industri penternakan negara.

Menurutnya, antara produk berisiko dalam penularan virus ASF ialah babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai dan sosej.

"Sepanjang Oktober lalu hingga minggu pertama bulan ini, Maqis Pulau Pinang membuat rampasan pelbagai hasilan daging haiwan seperti daging babi, itik dan ayam seberat 113kg bernilai RM2,500.

"Kita juga berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk produk hasilan haiwan daripada pelbagai negara tanpa dokumen sah iaitu tidak mempunyai Permit Import (IP) dari Jabatan Maqis dan Sijil Kesihatan Veterinar oleh pihak berkuasa veterinar negara asal di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zarina berkata, selain daging babi Maqis Pulau Pinang menahan konsainan buah mangga harumanis seberat 65kg yang bernilai RM800.

Daging babi tiada permit yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Daging babi tiada permit yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

"Buah tersebut dibawa masuk oleh penumpang Thailand tanpa sebarang dokumen sah seperti Import Permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Maqis dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal.

"Larangan pengimportan ini juga bagi menghalang risiko kemasukan serangga perosak seperti kumbang pengorek buah mangga ke Malaysia yang berpotensi merosakkan industri mangga negara. Selain larangan pengimportan, kemasukan buah mangga oleh penumpang di laluan udara juga adalah dilarang," katanya.

Katanya, mengimport tanpa permit yang sah dari Maqis adalah kesalahan mengikut Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama iaitu didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Maqis sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara," katanya.