Basikal lajak: Buka kertas siasatan terhadap Zahid Hamidi

Taqiuddin (baris hadapan, lima dari kanan) setelah membuat laporan polis hari ini.
A
A

PONTIAN - Polis diminta membuka kertas siasatan terhadap kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes kematian melibatkan basikal lajak baru-baru ini.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor, Taqiuddin Cheman berkata, kenyataan berkenaan dilihat tidak bertanggungjawab kerana mempertikaikan keputusan mahkamah.

“Beliau (Ahmad Zahid) telah mempersoalkan tindakan mahkamah yang membebaskan tertuduh.

“Ahmad Zahid turut mengatakan wanita itu (tertuduh) dibebaskan seolah-olah tiada bukti sedangkan majistret telah memberikan justifikasi yang jelas berhubung pembebasan tertuduh,” katanya selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Pontian hari ini.

Mahkamah Majistret Johor Bharu pada 28 Oktober lalu membebaskan jurujual Sam Ka Ting, 24, daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Ka Ting tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan berkenaan setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalau tiada dashcam, pasti pemandu salah bukan basikal lajak'

Dalam penghakimannya Siti Hajar berkata, keputusan berkenaan diputuskan bersandarkan kepada beberapa perkara termasuk situasi jalan berbukit yang gelap, berselekoh dan pemandu tidak boleh menjangkakan terdapat kumpulan berbasikal yang ramai pada jam 3 pagi.

Keadaan bahaya itu sendiri dicipta oleh kumpulan basikal lajak berkenaan.

Sementara itu, Taqiuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatan berharap siasatan terhadap Ahmad Zahid dilakukan sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Tindakan mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja boleh mencetuskan ketegangan dalam suasana harmoni malah turut mencabar kewibawaan mahkamah dan sistem keadilan di Malaysia,” katanya.