Gara-gara percaya kata nenek

A
A
A

SHAH ALAM - Siapa sangka hanya dengan kata-kata semangat daripada neneknya ketika beliau berusia sembilan tahun, anak Endau, Mersing ini kini berada dalam kelasnya tersendiri.

Kisah Prof Dr Faridah Awang yang menjadi satu-satunya anak Malaysia mencipta nama di Universiti Eastern Kentucky Amerika Syarikat (AS) sebagai profesor penuh menarik tumpuan ketika didedahkan dalam sebuah rancangan radio sebelum ini.

Kali ini sekali lagi beliau kembali ke tanah air untuk berkongsi aspirasi kepada rakyat Malaysia.

Selama 25 tahun di AS, Profesor Komunikasi Korporat dan Teknologi di Fakulti Pentadbiran, Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa ini tidak pernah sekali pun mengalah meskipun pelbagai dugaan dan cabaran dihadapinya.

"Saya diberikan motivasi oleh arwah nenek saya, Tok Wok, dia kata saya akan jajah negara orang. Maasa itu umur 9 tahun tak nampak bagaimana.

"Tapi apabila persekitaran itu sudah menyokong saya untuk pergi lebih jauh, sebagai orang yang cuba untuk mengubah kehidupan saya yang susah ketika itu saya percaya kata-kata semangat arwah nenek.

"Saya mula membina karakter. Apabila saya sudah belajar di negara orang, saya mula dekatkan diri saya dengan orang-orang yang sudah mencapai kejayaan dalam hidup mereka," katanya pada sesi SinarLive bertajuk 'Kenapa Dr Faridah Berkelana Di Amerika Syarikat?', semalam.

Prof Dr Faridah Awang ketika sesi SinarLive bersama Moderator, Haslina Kamaluddin. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Prof Dr Faridah Awang ketika sesi SinarLive bersama Moderator, Haslina Kamaluddin. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Artikel Berkaitan:

Dalam sesi 30 minit itu, Dr Faridah atau lebih mesra dengan panggilan Prof Ida berkongsi tips bagaimana seorang wanita dan ibu ini mampu bertahan di negara Uncle Sam yang jauh beribu batu daripada kampung halaman.

"Salah satu yang saya belajar ialah soalannya, bolehkah awak dan sanggupkah awak? Bolehkah awak ini merujuk kepada bolehkah awak buat ini? Ada tak kepakaran buat ini?

"Kedua, sanggupkah awak? Ini mengenai motivasi. Setengah orang ada semua kemahiran, kepakaran tapi tak ada motivasi. Tak boleh jadi juga. Jadi saya perlu tingkatkan kemahiran dan memiliki kekentalan yang tinggi untuk pergi 'menjajah' negara orang," katanya.

Tegasnya sepanjang tempoh di AS daripada belajar sampai bekerja, beliau menepis segala perkara yang boleh melemahkan dirinya termasuk persepsi ataupun diskriminasi dengan fokus meningkatkan kemahiran.

"Saya guna konsep Navy Seal iaitu tentera di AS. Konsep pertama ialah kekuatan mental, kata awak tak akan boleh membunuh saya, apa pun terjadi awak tak akan kalahkan saya.

"Konsep kedua, semuanya ‘ya, saya boleh’. Walaupun kita belum tahu boleh atau tidak sebab benda baharu. ‘Positive self talk’ membantu kita mencapai sasaran kita.

"Konsep ketiga, fokus pada sasaran yang kecil-kecil bukan yang besar-besar. Jadi kita tidak risaukan fikiran dengan benda yang lain-lain," katanya yang pernah mengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak selama lapan tahun.