BNM cadang hanya transaksi tunai bawah RM25,000 dibenarkan

Abdul Rasheed pada taklimat media berhubung Perundingan Awam untuk Had Transaksi Tunai di BNM, Kuala Lumpur semalam.Foto: Rosli Talib
Abdul Rasheed pada taklimat media berhubung Perundingan Awam untuk Had Transaksi Tunai di BNM, Kuala Lumpur semalam.Foto: Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Pencegahan Wang Haram (NCC) mengemukakan perundingan awam bagi cadangan had transaksi tunai atau cash transaction limit (CTL) sebagai langkah menggalakkan integriti kewangan di Malaysia.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, CTL ialah had yang ditetapkan bagi jumlah yang boleh dibayar menggunakan wang tunai bagi setiap transaksi dan sebarang transaksi melebihi had ditetapkan tidak boleh dibayar menggunakan wang tunai.

“Had transaksi tunai yang dicadangkan ialah RM25,000 dan sebarang transaksi melebihi had ini perlu dibayar secara elektronik atau cek.

“Had ini meliputi semua jenis bayaran transaksi tunai, contohnya bayaran untuk barangan dan perkhidmatan, derma atau transaksi antara orang perseorangan untuk tujuan peribadi,” katanya pada taklimat bersama media di Bank Negara di sini semalam.

Beliau berkata, transaksi dikecualikan daripada CTL ialah tunai melalui bank berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, bank Islam berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, pengendali berlesen di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 atau institusi yang ditetapkan di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

Katanya, transaksi di bawah situasi mendesak seperti bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana juga dikecualikan daripada tersebut.

Bagaimanapun jelasnya, pengecualian berkenaan memerlukan kelulusan daripada Menteri Kewangan berdasarkan saranan BNM.

Mengulas lanjut mengenai kepentingan CTL diwujudkan, Abdul Rasheed berkata, wang tunai yang sukar dikenal pasti dan dijejak telah memudahkan aktiviti haram.

Artikel Berkaitan:

“Langkah ini menyasarkan transaksi bernilai tinggi yang berisiko untuk disalahgunakan dan ia bukan bertujuan menyekat pembayaran tunai melibatkan nilai kecil.

“Melalui langkah ini ia dapat menggalakkan integriti kewangan di Malaysia yang merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.

Katanya, langkah berkenaan menggariskan bantuan yang diperlukan daripada orang ramai untuk menolak pembayaran tunai bernilai tinggi melebihi had, sekali gus berwaspada terhadap pihak yang mendesak untuk membuat transaksi secara tunai, khususnya apabila terdapat pilihan pembayaran lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, rundingan awal akan bermula dari 11 November sehingga 31 Disember 2019.

“Orang ramai, industri dan pihak berkepentingan digalakkan untuk memberi respons bertulis berkenaan persoalan yang dikemukakan.

“Ia bertujuan mendapatkan respons terhadap cadangan CTL berjumlah RM25,000 dan cabaran yang bakal dihadapi terhadap pelaksanaannya,” katanya.