Tekong cuba seludup 1,100 liter diesel ke Thailand

Polis meminta lelaki yang ditahan menunjukkan lokasi minyak diesel disimpan.
A
A

KUALA PERLIS - Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi menahan sebuah bot yang membawa muatan minyak diesel sebanyak 1,100 liter di perairan Kuala Perlis di sini semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi, Deputi Superintenden Polis Rohizan Mohd Saaid berkata, bot itu itu ditahan bersama tekong selepas rondaan dilakukan unit Risikan Marin kira-kira jam 11.30 pagi.

"Tekong lelaki berumur 55 tahun itu mengaku sedang menghala ke Thailand dan dia ditahan ketika berada di jarak 1.5 batu nautika dari pantai Kuala Perlis dan haluan 255 darjah menghala ke Thailand.

"Pemeriksaan dilakukan dan kita menemui satu tangki aluminium yang disorokkan di bahagian hadapan bot mengandungi minyak diesel sebanyak 1,000 liter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rohizan, anggotanya turut menemui dua tong plastik berisi minyak diesel sebanyak 100 liter bahagian belakang bot dan dianggarkan keseluruhan minyak diesel di dalam bot berkenaan ialah 1,100 liter.

"Bot tersebut dieskot ke Martek Kuala Perlis Pasukan Polis Marin Langkawi untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis

"Bot itu ditahan kerana melanggar undang-undang bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Akta 122," katanya.