Seleweng 800 liter minyak diesel dalam Proton Wira

Seorang lelaki diberkas anggota penguat kuasa KPDN Kelantan selepas bertindak mengisi minyak diesel secara berulang untuk tujuan penyeludupan dalam serbuan di jalan Kampung Teratak Pulai, Bachok pada Selasa.
Seorang lelaki diberkas anggota penguat kuasa KPDN Kelantan selepas bertindak mengisi minyak diesel secara berulang untuk tujuan penyeludupan dalam serbuan di jalan Kampung Teratak Pulai, Bachok pada Selasa.
A
A
A

BACHOK - Seorang lelaki diberkas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan selepas bertindak mengisi minyak diesel secara berulang untuk tujuan penyeludupan dalam serbuan di jalan Kampung Teratak Pulai di sini pada Selasa.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada jam 6 pagi menerusi operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor dan unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah kereta Proton Wira Aeroback pihaknya telah menjumpai 800 liter minyak diesel di dalam tong.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek telah membuat pembelian bahan api itu secara berulang kali bagi tujuan penyelewengan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut beliau, nilai rampasan diesel itu dianggarkan berjumlah RM11,720 termasuk kereta yang digunakan untuk tujuan penyeludupan.

Ujarnya, KPDN Kelantan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di negeri ini.