Kegiatan seleweng 10,500 liter minyak diesel subsidi tumpas

Minyak diesel bersubsidi yang dirampas KPDN Negeri Sembilan - Foto ihsan KPDN
Minyak diesel bersubsidi yang dirampas KPDN Negeri Sembilan - Foto ihsan KPDN
A
A
A

PORT DICKSON - Kegiatan penyelewengan 10,500 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM22,575 berjaya ditumpaskan pihak berkuasa dalam Op Tiris di sebuah premis terbuka di Kampung Kebun Jimah, Bukit Pelanduk di sini pada Khamis.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis melalui Cawangan Risik Batalion 6 Pusat Gerakan Am (PGA) Bakri, Muar, Johor pada jam 2 pagi itu turut menahan lapan lelaki tempatan.

"Kesemua lelaki terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui 10,500 liter minyak diesel yang bernilai RM22,575 dalam satu lori tangki, tiga lori bonded dan 19 unit tangki intermediate bulk container (IBC) bagi tujuan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua barangan tersebut disita dan keseluruhan nilai rampasan adalah RM159,375.00.

Ujarnya, pihak polis kemudian menyerahkan kes berkenaan kepada penguat kuasa KPDN Port Dickson di lokasi kejadian.

"Satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

"Ia bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan," katanya.

Muhammad Zahir berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada polis dan agensi-agensi penguatkuasaan lain di atas kerjasama yang diberikan dalam usaha mengekang penyelewengan minyak diesel terutamanya di Negeri Sembilan.

Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual agar mematuhi perundangan berkuat kuasa.