X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang tubuh SPV untuk keluar bon biayai PTMP

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengeluarkan bon jaminan oleh kerajaan Pusat untuk membiayai projek transit aliran ringan (LRT) di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, persetujuan jaminan kepada kerajaan negeri itu dibuat melalui surat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertarikh 1 Oktober lalu.

Menurutnya, melalui persetujuan itu kerajaan negeri kini telah memulakan perbincangan dengan beberapa bank untuk tujuan berkenaan.

"Tanpa persetujuan jaminan daripada Putrajaya, kerajaan negeri tidak boleh mengeluarkan bon yang mencukupi untuk pembiayaan dana bagi LRT dan juga PTMP. Kerajaan Pusat mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan sebuah SPV bagi peruntukan RM10 bilion yang dimohon oleh kerajaan negeri untuk membiayai kos pembinaan projek LRT Fasa 1," katanya ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

Kon Yeow (DAP- Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ong Khan Lee (PKR-Kebun Bunga) mengenai permohonan pinjaman RM10 bilion oleh kerajaan negeri daripada Kerajaan Pusat untuk membiayai PTMP.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga akan memohon peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi projek tersebut.

"Kita harap Kerajaan Pusat meletakkan projek PTMP di dalam RMK12 bagi membolehkan Pulau Pinang mengurangkan nilai bon.

"Kerajaan negeri juga boleh menubuhkan SPV untuk berbeza komponen dalam PTMP antaranya LRT dan Projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR)," katanya.

Kon Yeow berkata, surat Mahathir itu mengandungi dua perkara iaitu permohonan pembiayaan RM10 bilion untuk projek LRT ditolak dan jaminan terhadap bon yang dikeluarkan.

"Bon yang dikeluarkan tidak semestinya dengan jumlah RM10 bilion, kita boleh bermula dari RM1 bilion sehingga kita menambak laut untuk mendapatkan dana (hasil)," katanya.

Ogos lalu, Pulau Pinang menghantar permohonan rasmi kepada kerajaan Pusat bagi merayu dana RM10 bilion untuk membiayai sebahagian PTMP.