Jual pokok strawberi dari rumah

Zulkifli menunjukkan pokok strawberi jenis rainbow treasure yang baru dibeli baru-baru ini.
Zulkifli menunjukkan pokok strawberi jenis rainbow treasure yang baru dibeli baru-baru ini.
A
A
A

PENDANG - Sifatnya yang sukakan cabaran selain gemar mencipta kelainan dalam bidang tanaman menyebabkan seorang peniaga, Zulkifli Zakaria,54, mula menyemai minat menanam strawberi di rumahnya di Kampung Paya Kelubi di sini.

Bermula dengan empat pokok yang dibeli daripada seorang kenalannya di Alor Setar setahun lalu, Zulkifli kini memiliki 600 pokok strawberi hasil pembiakan menggunakan teknik sulur anak.

Menurutnya, setakat ini terdapat tiga jenis strawberi iaitu Shogun, Camarosa dan Rainbow Treasure yang ditanam di dalam pasu di halaman rumahnya.

"Tetapi yang paling banyak adalah Shogun iaitu baka dari Jepun yang bersifat tahan panas dan sesuai ditanam di kawasan tanah rendah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Zulkifli memanfaatkan halaman rumahnya dengan tanaman strawberi yang turut menjadi salah satu punca pendapatannya.
Zulkifli memanfaatkan halaman rumahnya dengan tanaman strawberi yang turut menjadi salah satu punca pendapatannya.

Menurutnya, disebabkan minat yang mendalam dalam bidang pertanian beliau sanggup mengikuti beberapa kursus untuk menambah ilmu pengetahuannya.

"Walaupun sekarang ini saya sudah memiliki ratusan pokok strawberi namun proses permulaannya sangat mencabar.

"Saya mengalami dua kali kegagalan ketika itu apabila dalam tempoh sebulan pokok strawberi saya mati, apatah lagi buahnya pun belum sempat keluar.

Artikel Berkaitan:

"Dari situ, saya mula mengkaji punca masalahnya. Saya tanya kawan-kawan sama hobi dan buat ujian tanah untuk melihat tahap alkali dan asid.

"Mungkin nampak sedikit sukar, tetapi bagi saya kegagalan itulah yang mendorong saya untuk terus berusaha sehingga berjaya," kata bapa kepada empat orang anak itu.

Zulkifli berkata, penjagaan tanaman itu tidak terlalu rumit, cukup sekadar memastikan kelembapannya tanahnya mencukupi.

"Kebiasaannya pokok ini disiram sehari sekali, dan disembur baja cecair sekali setiap minggu menggunakan baja yang saya hasilkan sendiri daripada bahan dapur.

"Tanaman ini juga mampu bertahan sehingga tiga tahun dan mengambil masa antara 50 sehingga 70 hari untuk berbuah.

"Tetapi di sebabkan saya menjual pokoknya, jadi saya lebih fokus kepada tumbesaran pokok manakala buahnya saya tidak jual," katanya yang menjual pokok berkenaan pada harga RM15 hingga RM30 sepokok mengikut saiz.

Zulkifli menggunakan teknik sulur anak untuk membiakkan anak pokok strawberi.
Zulkifli menggunakan teknik sulur anak untuk membiakkan anak pokok strawberi.

Zulkifli berkata, ilmu pertanian yang dimiliki khususnya dalam tanaman strawberi ini tidak akan disia-siakan.

"Saya gemar berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja yang berminat barulah ilmu itu berkembang dan memberi manfaat kepada orang lain," katanya yang sering dijemput untuk mengadakan kursus tanaman di sekitar daerah ini.