CEO 1MDB dedah lihat surat Putera Turki untuk Najib

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak mengetahui mengenai surat yang dihantar oleh Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al Saud kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, beliau hanya melihat surat berkenaan yang bertarikh 18 Feb 2011 selepas disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, membaca surat berkenaan kepada mahkamah yang antara lain menyatakan hubungan istimewa Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia bertambah erat di bawah Raja Abdullah dan Najib.

"Melalui usaha sama dengan PSI dan 1MDB, mereka menemui cara baru bagi kedua-dua negara menjalin pakatan melalui perniagaan komersial.”

Surat yang ditandatangani Putera Turki Abdullah itu juga menyatakan sokongan Najib dan kelulusan cadangan itu dapat meningkatkan hubungan istimewa antara Arab Saudi dan Malaysia.

Shahrol Azral: Betul.

Semasa disoal Muhammad Shafee sama ada beliau tahu hubungan antara Putera Turki dengan PSI, saksi kesembilan itu berkata: Putera Turki adalah pemilik PSI.

Muhammad Shafee: Pernah kamu lihat dokumen yang menunjukkan Putera Turki adalah pemilik PSI?

Artikel Berkaitan:

Shahrol Azral: Tidak.

Muhammad Shafee: Tak pernah terjumpa?

Shahrol Azral: Ya.

Najib, 66, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama