Vietnam akan ambil tindakan isu pertikaian Laut China Selatan

Kapal milik Pengawal Pantai China melakukan rondaan di kawasan perairan Laut China Selatan yang terletak kira-kira 210 kilometer dari pantai Vietnam. -FOTO: AGENSI
Kapal milik Pengawal Pantai China melakukan rondaan di kawasan perairan Laut China Selatan yang terletak kira-kira 210 kilometer dari pantai Vietnam. -FOTO: AGENSI
A
A
A

HANOI - Vietnam mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pelbagai pilihan dalam isu pertikaian dengan Beijing di Laut China Selatan.

Konflik semakin meningkat antara kedua-dua negara komunis itu sejak Beijing pada Julai lalu menghantar sebuah kapal untuk tinjauan seismik selama beberapa bulan ke kawasan yang ditetapkan antarabangsa sebagai Zon Ekonomi Eksklusif Vietnam (EEZ) yang turut dituntut China.

Timbalan Menteri Luar, Le Hoai Trung berkata, mereka lebih suka berunding, namun tidak ada pilihan lain untuk menyelesaikan krisis tersebut.

"Kami tahu bahawa tindakan itu termasuk pencarian fakta, pengantaraan, rundingan, timbang tara dan tindakan litigasi. Piagam PBB dan UNCLOS 1982 mempunyai mekanisme mencukupi untuk menerapkan langkah tersebut," katanya merujuk kepada Konvensyen PBB dan Undang-undang Laut (UNCLOS) yang merupakan perjanjian antarabangsa yang menentukan hak wilayah maritim.

Pada 2014, bekas Perdana Menteri, Nguyen Tan Dung memaklumkan Vietnam mempertimbangkan tindakan undang-undang susulan pembinaan pelantar minyak China di perairan yang dituntut Hanoi hingga mencetuskan rusuhan anti-Beijing.

Pertikaian multilateral melibatkan Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam itu menyaksikan Beijing menuntut hampir seluruh perairan kaya sumber di Laut China Selatan di mana ia turut membina pos tentera di pulau buatan.

Pada 2016 keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague berpihak kepada Filipina yang mana ia membatalkan tuntutan China ke atas sebahagian besar perairan tersebut susulan kes difailkan Manila pada 2013.

Beijing bagaimanapun enggan menerima keputusan mahkamah antarabangsa itu yang mengesahkan hak Filipina ke atas rizab tenaga dalam kawasan EEZ. - Agensi

Artikel Berkaitan: